Chan San San (kiri) melihat proses sanitasi yang dijalankan di sekitar Pasar Awam Taman Johor Jaya, hari ini. FOTO IHSAN AHLI MAJLIS
Chan San San (kiri) melihat proses sanitasi yang dijalankan di sekitar Pasar Awam Taman Johor Jaya, hari ini. FOTO IHSAN AHLI MAJLIS
Omar Ahmad.


Johor Bahru: Pasar Awam Taman Johor Jaya, di sini, diarahkan ditutup seminggu mulai hari ini selepas sembilan kes positif Covid-19 membabitkan peniaga dan pekerja dikesan di premis itu.

Arahan penutupan hingga 7 September itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk kerja sanitasi dan mengawal penularan wabak itu.

Ahli Majlis MBJB Zon Johor Jaya, Chan San San berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat sekurang-kurangnya sembilan individu dilaporkan positif Covid-19 .

"Sebelum ini, pengerusi pasar itu memaklumkan kepada saya terdapat tujuh kes positif Covid-19 dan selepas ujian saringan dibuat hari ini, sembilan kes dikesan positif.

"Sembilan individu berkenaan diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah dan sedang menunggu arahan lanjut dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kerja sanitasi dilakukan di sekitar pasar ini dengan bantuan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Esok, MBJB akan melakukan kerja sanitasi di kawasan ini sekali lagi," katanya ketika dihubungi selepas melawat proses sanitasi di pasar itu.

San berkata, peniaga dan penjaja yang menjalankan operasi di luar premis turut diminta menghentikan operasi sementara waktu.

Beliau berkata, orang ramai yang pernah mengunjungi pasar itu dalam tempoh terdekat, dinasihati untuk melakukan ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri di rumah.

Menurutnya, jika menunjukkan simptom atau mempunyai masalah kesihatan, mereka diminta mendapatkan rawatan dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:12 PM