AKSI antara Sri Pahang dan Negeri Sembilan pada perlawanan Liga Super. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
AKSI antara Sri Pahang dan Negeri Sembilan pada perlawanan Liga Super. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab Aziz memuji komitmen tinggi yang dipersembahkan anak buahnya selepas melakar kemenangan pertama dengan kejayaan menewaskan Sri Pahang FC 2-0 dalam saingan Liga Super musim 2024/2025, semalam.

Justeru, beliau mengharapkan kemenangan itu akan mengembalikan keyakinan dan menyuntik semangat anak buahnya untuk meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan akan datang selepas tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.

"Alhamdulillah, saya gembira kerana kami sangat-sangat tertekan dan bermain agak hambar dalam tiga perlawanan sebelum ini tetapi gembira kerana kembali bangkit dengan mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super.

"Saya bersyukur kerana banyak isu sebelum ini dalam pasukan tetapi kerja keras dan komitmen luar biasa yang dipersembahkan semua pemain berjaya mempamerkan permainan lebih baik hingga mengutip tiga mata pada perlawanan hari ini (semalam)," katanya.

Pada masa sama, Azzmi berterima kasih kepada peminat Negeri Sembilan yang masih memberikan sokongan dan mendoakan yang terbaik kepada barisan kejurulatihan dan pemain.

Katanya, sokongan itu turut membantu skuad itu untuk bermain dengan lebih baik dan hasilnya tiga mata diperoleh di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh biarpun beraksi di gelanggang lawan.

"Bagi saya bukan mudah untuk membentuk sebuah pasukan yang dibarisi pemain baharu tetapi kami melakukan yang terbaik dan komitmen pemain membantu Negeri Sembilan beroleh kemenangan selepas empat perlawanan," katanya.

Pada perlawanan semalam, dua gol, masing-masing satu dijaringkan pada setiap babak oleh pemain tengah, R Barathkumar pada minit ke-24 dan Takumi Sasaki pada masa kecederaan di babak kedua memastikan tiga mata.

Sebelum ini, Negeri Sembilan tewas ketiga-tiga aksi Liga Super iaitu 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC (0-4) dan Kuala Lumpur (KL) City FC (0-3) manakala tewas 0-4 kepada Selangor FC dalam saingan Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:05 PM