MOHD Iqbal. FOTO Arkib NSTP
MOHD Iqbal. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Shah Alam: Kertas siasatan pelawak dan isterinya yang ditahan bagi membantu siasatan penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram akan diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan selepas pihaknya menerima laporan yang diperlukan bagi membantu siasatan.

"Laporan-laporan berkaitan baru diperolehi dan kertas siasatan sedang dilengkapkan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pelawak serta isterinya direman dua hari bagi membantu siasatan tentang penyebaran maklumat dalaman berkaitan IPD Shah Alam di aplikasi Telegram.

Terdahulu, tular di aplikasi Telegram berkaitan penulisan membabitkan IPD Shah Alam dan penyebaran gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Sahabudin Abd Manan yang meninjau IPD terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:54 PM