KHARIR Mat menyerahkan replika kunci CFRT kepada Ketua Balai Bomba Penyelamat Kuala Terengganu Rozizah Abnihajar. FOTO Nazdy Harun
KHARIR Mat menyerahkan replika kunci CFRT kepada Ketua Balai Bomba Penyelamat Kuala Terengganu Rozizah Abnihajar. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu merekodkan 1,631 kes kebakaran terbuka di negeri ini sehingga semalam.

Timbalan Pengarahnya, Mohd Khairiri Mat Resad@Arshad berkata, jumlah itu adalah daripada 3,276 kes keseluruhan yang dilaporkan kepada pihaknya.

Menurutnya, pihaknya turut menerima sebanyak 1,090 panggilan menyelamat dan 136 panggilan untuk tugas-tugas khas, manakala 13 kes lemas direkodkan dengan 12 kematian di negeri itu sehingga semalam.

Katanya, Terengganu merekodkan kes kebakaran terbuka tertinggi di negara ini membabitkan beberapa kawasan tanah gambut di daerah Kuala Nerus, Setiu dan Dungun.

"Hingga semalam, kita menerima 2,044 panggilan berhubung kebakaran namun 1,631 adalah kebakaran terbuka membabitkan kawasan tanah gambut.

"Hingga kini kami masih menerima panggilan membabitkan kebakaran hutan dan operasi pemadaman masih diteruskan walaupun cuaca kini sedikit hujan dan ia membantu proses pemadaman," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kali Ke-2 Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Menurutnya, sebagai contoh di kawasan Kampung Tok Kah, Dungun, pihaknya mengambil masa dua bulan untuk memadamkan api di kawasan tanah gambut terbabit.

Katanya, sehingga Mei tahun ini sebanyak 296 kes memerlukan kepada siasatan kebakaran iaitu membabitkan kebakaran struktur dan kenderaan yang akan dibuat siasatan kebakaran,

Beliau berkata, pihaknya merekodkan kerugian sebanyak RM10.7 juta, manakala harta yang dapat diselamatkan berjumlah RM355.5 juta.

Mengulas mengenai perolehan aset iaitu jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) beliau berkata, fungsi CFRT adalah sama untuk operasi pemadaman dan penyelamatan cuma jentera terbabit lebih kecil dan memudahkan pergerakan yang sukar dilalui jentera besar.

"JBPM Terengganu akan menerima enam buah lagi jentera CFRT secara berperingkat iaitu masing-masing dua buah pada 2025, 2026 dan 2027.

"Dengan penerimaan jentera tambahan ini, kita dapat menyelesaikan masalah kekurangan jentera dan dengan adanya jentera ini kita yakin dapat mengoptimumkan operasi selain ia akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik JBPM yang terpilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:19 PM