PERGADUHAN bukan sekadar terjadi di dalam padang, malah difahamkan juga di luar padang. FOTO Ihsan pembaca
PERGADUHAN bukan sekadar terjadi di dalam padang, malah difahamkan juga di luar padang. FOTO Ihsan pembaca
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Tahun 2024 mungkin tahun terbaik di Malaysia dalam melahirkan pemain bola sepak yang mempunyai jiwa 'fighter' tetapi bukan berjuang mencari kemenangan sebaliknya berlawan bertumbuk di dalam mahupun di luar padang.

Pergaduhan terbaharu terjadi dalam pertandingan Piala Belia Bawah 18 Tahun peringkat Kumpulan A antara Kelantan FA menentang Sri Pahang FC yang berlangsung di Pasir Mas, Kelantan menyaksikan pelbagai drama terjadi.

Dalam video berdurasi 3:54 saat (s) yang sedang tular di media sosial itu menyaksikan pengadil perlawanan terpaksa memberikan kad merah kepada pemain Kelantan FA, Amri Hakimi Azmi dan pemain Sri Pahang FC Nur Aiman Syahmi Sahizan pada minit ke-86 selepas kedua-dua mereka paling menyerlah dalam mencetuskan pergaduhan di dalam padang.

Sebelum itu, perlawanan yang berlangsung dengan intensiti tinggi dan penuh ketegangan akhirnya meletus pada mini ke-83 apabila pemain dari kedua-dua pasukan gagal mengawal perasaan sebelum saling bertumbuk antara satu sama lain.

Ia bukan sekadar terjadi di dalam padang, malah difahamkan juga di luar padang turut berlaku pergaduhan itu.

Di kala pemain Kelantan FA, Amri seakan-akan pasrah menerima kad merah namun pemain Tok Gajah, Nur Aiman pula bagai 'dirasuk hantu' apabila terus bertindak agresif seperti ingin meneruskan pergaduhan dengan pemain tuan rumah namun berjaya 'diruqyahkan' oleh salah seorang staf kejurulatihan pasukan.

Perlawanan itu terhenti hampir tiga minit itu berjaya disambung semula sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil yang bertugas.

Dalam perlawanan itu menyaksikan tuan rumah menang 2-1 ke atas Sri Pahang sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua Kumpulan A di belakang Selangor FC dengan perbezaan dua mata.

Sementara skuad kendalian Hamdan Mohamad berada di kedudukan kedua terakhir dalam kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:48 PM