ANTARA warga asing yang diperiksa oleh pasukan JIM Putrajaya dalam serbuan di lima rumah urut sekitar Bukit Bintang di sini, Rabu lalu. FOTO ihsan JIM
ANTARA warga asing yang diperiksa oleh pasukan JIM Putrajaya dalam serbuan di lima rumah urut sekitar Bukit Bintang di sini, Rabu lalu. FOTO ihsan JIM
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Aktiviti pelacuran di sekitar ibu kota terus digempur pihak berkuasa dengan terbaharu lima rumah urut diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyaksikan 56 warga asing diberkas Rabu lalu.

Serbuan kira-kira jam 9.30 malam di sekitar Bukit Bintang itu dijalankan pasukan JIM Putrajaya susulan aduan awam mengenai pendatang asing tanpa izin (Pati) terbabit aktiviti tidak bermoral yang berselindung di sebalik rumah urut di kawasan tumpuan pelancong.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ketika serbuan pasukan berdepan cabaran kerana lokasi premis kedai dua tingkat yang terletak di tengah pusat bandar menjadikan laluan masuk sesak dengan kehadiran pelancong dan kenderaan sekali gus menyukarkan pergerakan masuk ke sasaran.

"Bagaimanapun, seramai 91 individu terdiri daripada 61 warga asing dan 30 warga tempatan berjaya diberkas untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan, 56 warga asing berusia 20 hingga 50 tahun membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Thailand dan Sudan ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ruslin berkata, dua warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Harian Metro pada 22 Jun lalu menerusi laporan ekslusif bertajuk 'Hanyir Lubuk Dosa' mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran tertua sekitar Pudu, Kuala Lumpur termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu.

Isu terbabit turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang percaya wujudnya elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu negara yang masih tidak selesai sejak sekian lama.

Akhbar ini turut mendapat reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang dilaporkan berkata dalam usaha menjamin keharmonian dan kesejahteraan warga kota, perbincangan lanjut untuk memperluaskan terma rujukan KL Strike Force akan diadakan supaya tindakan bersepadu dapat diambil untuk membanteras aktiviti pelacuran di seluruh Kuala Lumpur.

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar juga sudah arahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membuat siasatan lanjut seperti dibangkitkan.

Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim turut mendesak semua pihak perlu berpadu tenaga menghentikan kegiatan ekonomi gelap itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:46 PM