JOHARI bersalaman dengan perwakilan selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah, hari ini. FOTO Amir Mamat
JOHARI bersalaman dengan perwakilan selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Masjid Tanah: Umno sudah pasti akan meletakkan calon muda untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, calon berkenaan sudah mempunyai pengalaman luas di lapangan selain mendapat sokongan daripada penduduk setempat.

"Ya, sudah tentu kita pilih calon (dalam kalangan orang) muda yang mempunyai 'on the ground' (akar umbi) di lapangan.

"Calon muda itu bukan datang dari 'langit', (sebaliknya) datang dari on the ground," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Paya Lebar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri yang juga Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalannya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta Ketua Umno Kota Melaka, Datuk Abd Razak Abd Rahman.

Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, Biro Politik Umno sudah mengenal pasti seorang daripada tiga calon yang disenarai pendek untuk bertanding pada PRK terbabit.

Katanya, nama calon yang terpilih akan diserahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihan raya itu akan diadakan pada 3 Ogos diikuti pengundian awal (13 Ogos) dan pengundian pada 17 Ogos.

Sementara itu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pertelagahan dan pertikaman lidah antara kepemimpinan Umno boleh menjadi punca parti keramat itu semakin ditinggalkan.

Beliau berkata, ini kerana kelakuan sedemikian akan menimbul rasa benci rakyat, termasuk ahli Umno sekali gus memberi kesan negatif kepada parti pada masa hadapan.

"Pertelagahan sesama pemimpin kini menjadi antara kelemahan dikesan di dalam Umno ketika ini.

"Kita mesti melihat kepada kelemahan kita terutama antara pemimpin dengan pemimpin yang sentiasa bertelagah dan akhirnya, orang menyampah dengan kita. Itu yang perlu kita tekankan (tangani)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:02 PM