YUSRI berpendapat pemain Perak FC tidak mempunyai keyakinan cukup tinggi. FOTO Bernama
YUSRI berpendapat pemain Perak FC tidak mempunyai keyakinan cukup tinggi. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Selepas tidak menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri dan gagal mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan menentang Penang FC semalam, menyebabkan pengendali Perak FC, Yusri Che Lah meluahkan rasa amat kecewa kepada pemainnya sendiri.

Jelas Yusri, dirinya amat dukacita melihat prestasi yang ditampilkan oleh pemainnya dan menganggap anak buahnya seakan-akan bermain tanpa ingin mendapatkan kemenangan.

Disebabkan itu, beliau secara terbuka meluahkan rasa sedih melihat perkembangan itu biarpun selama ini Yusri mengambil pendekatan mempertahankan prestasi anak didiknya.

"Ini pertama kali saya menyuarakan rasa amat tidak puas hati dengan pemain-pemain saya di mana selama ini saya tidak pernah mengeluarkan perkataan-perkataan terhadap pemain saya tetapi tahap kesabaran seseorang itu saya rasa ada had.

"Saya rasa pemain harus dihukum dengan kekalahan pada malam ini (semalam) dan sepatutnya mereka rasa malu dengan persembahan sendiri. Pemain seharusnya menyesal sebelum perlawanan bermula dan bukannya menyesal selepas apa yang mereka tampilkan.

"Sekali lagi saya ingatkan pemain, saya amat tidak berpuas hati dengan keputusan (menentang Penang FC). Saya tidak pernah menyuarakan atau menyatakan tentang pemain. Jadi selama ini saya masih mempertahankan pemain-pemain saya tapi untuk malam ini (semalam).

"Saya minta maaf, apa yang mereka tampilkan, mereka seolah-olah tidak inginkan kemenangan itu yang saya rasa dan diperlihatkan kepada semua penonton. Penonton bukan tidak bijak untuk menilai (prestasi pasukan)," katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Selain itu, jurulatih berusia 48 tahun itu juga berpendapat pemain Perak FC tidak mempunyai keyakinan cukup tinggi dalam perlawanan itu dan tidak mempunyai idea apa yang yang harus dilakukan di dalam padang.

"Cuma yang saya lihat adalah tahap keyakinan pemain amat-amat rendah itu yang saya nampak. Pemain tidak berani memegang bola seolah-olah melepaskan bola pada keadaan tidak sepatutnya, cuba mengawal dalam keadaan tidak sepatutnya. Itu yang saya nampak.

"Tahap keyakinan memang tiada ubat dari mana-mana jurulatih melainkan dari pemain itu sendiri yang mengubatnya. Kalau ubat seperti panadol senang. Mereka berada dalam padang, mereka buat keputusan, jadi seandainya tahap keyakinan mereka tidak mampu mengawal bola, tetapi adakah mereka tidak mampu berlari untuk menahan asakan? Itu pandangan peribadi saya sebagai ketua jurulatih," katanya.

Terdahulu, Perak FC gagal mencatat kemenangan di halaman sendiri selepas tewas 0-2 kepada Penang FC sekali gus memaksa skuad Bos Gaurus berada di kedudukan ke-11 lima dengan satu kemenangan selepas lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:35 PM