WAN Ahmad Fayhsal (kanan) bersama agensi kerajaan menjalankan sanitasi awam di PPR Jelatek. FOTO Ihsan KBS
WAN Ahmad Fayhsal (kanan) bersama agensi kerajaan menjalankan sanitasi awam di PPR Jelatek. FOTO Ihsan KBS
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Penduduk di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara menarik nafas lega apabila kebimbangan mereka mengenai penularan Covid-19 di kawasan kediaman mereka mendapat reaksi segera daripada pihak berwajib.

Ini kerana aduan yang dibuat sebelum ini mendapat perhatian pelbagai agensi kerajaan dan sukarelawan Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan yang mengaktifkan Program Sanitasi Prihatin.

Wakil penduduk PPR Desa Pandan, Saiful Badri berkata, kebimbangan mereka mengenai penularan wabak di kawasan kediaman berakhir selepas ia disanitasi secara menyeluruh.

"Kami harap inisiatif ini dapat mengurangkan kadar penularan di komuniti penduduk.

"Terima kasih di atas inisiatif ini. Sebelum ini penduduk bimbang berlaku penularan kes kerana tiada sanitasi awam dibuat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, inisiatif berkenaan dijalankan di PPR Jelatek, PPR Perkasa, PPR Laksamana, PPR Desa Rejang dan PPR Ampang Hilir selama dua minggu.

Katanya, pihaknya menerima aduan daripada wakil penduduk sebelum ini sebelum memutuskan untuk mengadakan kolaborasi bersama pelbagai agensi lain.

"Kita ambil inisiatif segera ini sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan.

"Saya percaya ini juga penting bagi supaya penduduk tidak gusar dan panik dengan situasi semasa.

"Ia juga peluang Sekretariat Rakan Muda untuk membantu dan menimba pengalaman dengan kerja-kerja kemasyarakatan," katanya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, ia akan diteruskan di lokasi lain selepas ini bagi memastikan ia bebas daripada wabak.

Selain kementerian itu, program berkenaan juga mendapat kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 9:47 PM