JOSUE (kiri) berharap ‘drama’ berkaitan soal gaji itu dapat diselesaikan segera. FOTO AZRUL EDHAM
JOSUE (kiri) berharap ‘drama’ berkaitan soal gaji itu dapat diselesaikan segera. FOTO AZRUL EDHAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Meskipun bermain tanpa di bayar gaji selama tujuh bulan namun sumpah setia pemain naturalisasi negara, Paulo Josue begitu tinggi apabila memilih untuk terus kekal bersama Kuala Lumpur City (KL City) FC.

Jelasnya, untuk meninggalkan pasukan dalam masa terdekat sememangnya tiada dalam perancangannya dan dia berharap 'drama' berkaitan soal gaji itu dapat diselesaikan segera.

Katanya lagi, hubungan baik bersama pihak pengurusan KL City selain keluarganya yang begitu suka tinggal di ibu kota membuatkan dirinya lebih memilih untuk terus berada dalam pasukan itu.

"Berkenaan berhijrah ke pasukan lain, buat masa sekarang tidak, saya masih komited sepenuhnya dengan pasukan ini (KL City), jadi saya tiada rancangan untuk berpindah dari sini. Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan KL City, saya tidak mahu meninggalkan pasukan.

"Saya hanya mahu semuanya diselesaikan (gaji tertunggak) supaya kami boleh terus bermain bersama pasukan KL City. Yang pasti ketika ini, saya tidak mahu berpindah dari KL kerana keluarga saya di sini, saya rasa sangat baik dan selesa dalam pasukan ini. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pengurusan, pemain, staf kejurulatihan dan dengan semua orang," katanya kepada Arena Metro.

Namun begitu, Josue memaklumkan biarpun jiwa dan raganya masih setia bersama skuad Warga Kota, dirinya tetap terbuka untuk mengambil langkah terakhir keluar meninggalkan pasukan sekiranya terjadi sesuatu di luar jangkaan.

"Tetapi sudah tentu jika kelab jatuh (disebabkan gaji) atau sesuatu yang serupa, saya tidak boleh berada di sini, saya perlu mencari tempat lain untuk bekerja (bermain). Itu bukan rancangan saya sekarang, tetapi sudah tentu jika tawaran datang, saya perlu melihatnya dan berbincang dengan ejen saya, berbincang dengan keluarga saya tetapi itu bukan dalam rancangan saya untuk berpindah buat masa ini," katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan ketua pasukan KL City itu berharap janji pihak pengurusan untuk menyelesaikan tunggakan gaji dua bulan benar-benar ditepati selepas menunggu hampir tujuh bulan beraksi tanpa sebarang wang.

Sebelum ini, pemain kelahiran Brazil itu menggemparkan peminat seluruh Malaysia apabila terpaksa bermain bersama pasukan KL City tanpa dibayar gaji hampir setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:16 PM