AARON (kanan) lebih selesa dengan status bukan pilihan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
AARON (kanan) lebih selesa dengan status bukan pilihan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menganggap status bukan pilihan pada Sukan Olimpik Paris dapat mengurangkan tekanan kepada mereka untuk beraksi pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Situasi itu hampir sama seperti ketika Olimpik Tokyo yang menyaksikan beregu negara itu tidak diletakkan selaku pasangan pilihan namun berjaya memenangi pingat gangsa.

"Kali ini kami juga tampil di Paris bukan sebagai pasangan pilihan. Bagi saya, itu memberi kelebihan kepada kami. Untuk saingan kali ini, banyak pasangan beregu yang sangat kompetitif.

"Mereka yang diletakkan selaku pilihan mungkin akan lebih merasai tekanan. Ada juga beregu yang kali pertama beraksi (di Olimpik). Tapi kami lebih selesa dengan status bukan pilihan," kata Aaron.

Aaron menjangkakan apa sahaja boleh berlaku pada edisi Olimpik kali ini termasuklah kemungkinan akan ada pemenang pingat emas baharu dalam acara beregu lelaki.

"Saya rasa pemenang emas dan perak mungkin akan dimenangi beregu lain. Bagi saya, kami hanya mahu pergi ke sana dengan sikap merendah diri dan fokus kepada persiapan sendiri sahaja.

"Pengalaman semasa di Tokyo akan kami bawa apabila beraksi di Olimpik Paris," katanya.

Pada edisi di Tokyo, gandingan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin memenangi pingat emas selepas menewaskan pasangan China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen.

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky melihat Aaron-Wooi Yik sebagai taruhan utama untuk memenangi pingat emas di Olimpik Paris.

Pasangan nombor lima dunia itu sebelum ini sudah pun mencipta sejarah apabila menjadi wakil pertama negara dalam sukan badminton yang muncul juara dunia di Tokyo, Jepun pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:29 PM