DATUK Bandar Bamban, Alice Guo. FOTO Agensi
DATUK Bandar Bamban, Alice Guo. FOTO Agensi
Reuters

Manila: Senat Filipina mengarahkan seorang datuk bandar ditahan kerana enggan menghadiri perbicaraan mengenai dakwaan hubungan beliau dengan sindiket jenayah China.

Kes itu mendapat perhatian meluas di tengah-tengah ketegangan antara Manila dan Beijing yang semakin memuncak di Laut China Selatan.

Perintah penahanan itu, yang ditandatangani presiden Senat pada Jumaat dilakukan selepas Datuk Bandar Bamban, Alice Guo, gagal hadir untuk pendengaran kali kedua berturut-turut pada Rabu, dengan alasan berdepan tekanan.

Siasatan Senat bermula pada Mei lalu selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah kasino di Bamban, sebuah bandar pertanian kecil yang sunyi pada Mac lalu.

Ia membongkar apa yang disifatkan pihak berkuasa sebagai penipuan yang dilakukan dari kemudahan dibina di atas tanah yang sebahagiannya dimiliki datuk bandar.

Peguam Guo, Stephen David berkata, datuk bandar itu tidak dapat menghadiri perbicaraan kerana 'keadaan kesihatan fizikal dan mentalnya' susulan perbuatan 'buli dan penghinaan siber secara besar-besaran'.

"Mudah-mudahan, apabila keadaannya bertambah baik, kita akan berjumpa dengannya lagi ketika perbicaraan," kata David.

Senator Risa Hontiveros, yang mengetuai penyiasatan hari ini, berkata perintah penahanan terhadap Guo adalah langkah pertama untuk memastikan datuk bandar itu 'bertanggungjawab terhadap undang-undang'.

Senat turut mengarahkan beberapa ahli keluarga Guo ditahan kerana gagal hadir pada perbicaraan.

Kes Guo, yang membuka mata kepada aktiviti jenayah industri kasino dalam talian yang kebanyakannya disokong rakyat China di Filipina, mendapat perhatian negara selepas seorang Senator mempersoalkan sama ada Guo dilahirkan di Filipina dan mendakwa beliau juga boleh menjadi 'aset' China, satu tuduhan yang dinafikanmya.

Kedutaan China di Manila juga tidak memberi sebarang kenyataan ketika diminta mengulas mengenai identiti Guo.

Guo menafikan ada kaitan dengan penjenayah dan berkata, beliau adalah warganegara asal Filipina dan menulis kepada Senat mendakwa beliau menjadi subjek 'tuduhan jahat'.

Pasukan peguamnya pada Rabu lalu meminta Mahkamah Agung membatalkan saman yang meminta beliau untuk hadir pada perbicaraan itu.

Pada Mei lalu, Presiden Ferdinand Marcos Jr memberitahu wartawan: "Tiada siapa yang mengenalinya. Kami tertanya-tanya dari mana beliau datang. Itulah sebabnya kami menyiasat perkara ini, bersama-sama dengan Biro Imigresen kerana persoalan mengenai kewarganegaraannya".

Kes Guo tercetus selepas kecurigaan Filipina semakin meningkat mengenai aktiviti China berikutan pertikaian yang semakin tegang berkaitan terumbu dan beting di laluan air yang sibuk di Laut China Selatan, yang mana kedua-dua negara membuat tuntutan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 3:01 PM