Antara ahli ExRAIL yang hadir. FOTO  Yusmizal Dolah Aling
Antara ahli ExRAIL yang hadir. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling

PERSATUAN Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu Malaysia (ExRAIL) akan menjalin kerjasama strategik dengan syarikat swasta, syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dan institusi pengajian tinggi untuk memberi manfaat yang lebih luas kepada semua lapisan masyarakat.

Yang Dipertuanya Datuk Sarbini Tijan berkata, pihaknya ingin berkongsi pengalaman bersama beberapa pihak termasuk institusi pengajian tinggi lain bagi membolehkan industri kereta api negara dikuasai anak tempatan.

Menurutnya, ia perlu memandangkan Malaysia menjadi pusat perdagangan yang menjadi pilihan pelabur asing terutama dari segi logistik dan penting untuk rakyat negara ini mempunyai kemahiran dalam pengangkutan awam.

Katanya, ketika ini ExRAIL mempunyai 350 ahli yang mempunyai kepakaran dan kemahiran masing-masing sama ada teknikal, operasi, kejuruteraan, komunikasi, teknologi maklumat, aset atau hartanah, pentadbiran dan perkhidmatan.

"Kami sedia menawarkan dan memberi khidmat nasihat kepada mana-mana organisasi, jabatan kerajaan, kementerian dan universiti awam bagi pembangunan infrastruktur demi membantu pengangkutan awam negara ini.

"Perkembangan industri kereta api negara semakin pesat. Kami kompeten dalam bidang mading-masing. Ahli ExRAIL juga boleh menjadi tenaga pengajar melalui bidang masing-masing dalam bentuk latihan berkonsepkan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya ketika berucap pada Majis Ulangtahun Ke -5 dan Hi Tea ExTRAIL di Vivatel Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, 100 bekas kakitangan ExRAIL itu diraikan bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam industri pengangkutan awam negara.

Sarbini berkata, kepakaran bekas kakitangan ini diiktiraf dengan sebahagiannya kini bertugas di Mekah Metro dan syarikat pembinaan landasan kereta api kargo.

"Kita akan buat lebih banyak program seiring dengan keperluan zaman agar pengalaman orang lama pekeretapian negara dapat terus disumbangkan kepada pembangunan dan pemodenan industri rel Malaysia dan dunia umumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 7:19 PM