NAFUZI Zain. FOTO MIKAIL ONG
NAFUZI Zain. FOTO MIKAIL ONG
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC Nafuzi Zain mengakui banyak 'kerja' perlu dilakukan pada perlawanan akan datang walaupun pasukannya merekodkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Bandaraya, semalam.

Jurulatih berusia 45 itu menjelaskan, ia kerana pasukannya masih perlu mengharungi perlawanan suku akhir kedua yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Justeru, beliau berkata skuad Sang Kenari tidak boleh terlalu selesa, sebaliknya perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka.

"Satu keputusan yang positif buat Kedah untuk dibawa ke perlawanan timbal balik. Terima kasih kepada pemain yang dari awal menunjukkan komitmen tinggi dan kami tahu betapa sukar menentang Penang yang bermain di tempat sendiri.

"Masih ada perlawanan kedua, kerja kami belum selesai lagi. Kami tidak boleh selesa atau terlalu yakin kerana dalam bola sepak, apa sahaja boleh terjadi. Paling penting apa yang ditunjukkan di atas padang pada pusingan kedua nanti.

"Saya berharap kami dapat kekal konsisten serta menunjukkan aksi terbaik di tempat sendiri untuk raih kemenangan dan layak ke separuh akhir," katanya.

Sebelum itu, jaringan Mohamad Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-73 menjadi bekalan awal untuk KDA dalam usaha skuad itu membalas dendam terhadap Penang yang menyingkirkan mereka menerusi penentuan penalti 4-3 pada pusingan pertama Piala FA musim lalu.

Ia juga menjadi kemenangan kedua Sang Kenari ke atas Penang di Stadium Bandaraya musim ini selepas turut merekodkan kemenangan 1-0 dalam aksi Liga Super 22 Jun lalu.

Sementara itu, jurulatih Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menegaskan pasukannya masih ada baki 90 minit lagi di Alor Setar untuk bangkit.

"Saya tidak percaya kepada badi (tewas dua aksi berturut-turut kepada KDA), sebab bagi saya usaha dan tumpuan setiap minit itu penting. Kami kalah dua perlawanan berturut-turut bagi saya bukan badi, tapi kegagalan kami untuk menghasilkan jaringan.

"Kami sudah bermain dengan baik, tapi kegagalan menghasilkan jaringan itulah menukar keputusan perlawanan minggu lalu dan malam ini. Saya harap pemain akan kembali berkeyakinan untuk kami bersaing di Alor Setar dan kami masih ada 90 minit lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 5:17 PM