Sarbini menandatangani replika baucar bernilai RM2 yang diagihkan kepada penumpang wanita KTM Komuter pada Majlis Pengiktirafan Koc Wanita Pertama di Malaysia.
Sarbini menandatangani replika baucar bernilai RM2 yang diagihkan kepada penumpang wanita KTM Komuter pada Majlis Pengiktirafan Koc Wanita Pertama di Malaysia.

Kuala Lumpur: Inisiatif memperkenalkan koc wanita pertama di Malaysia pada April 2010 ternyata berhasil apabila dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR), 28 November lalu.

Presidennya Sarbini Tijan berkata, selain itu KTMB turut menerima Anugerah Industri Pengendali Kereta Api (Inovasi Terbaik) Koc Wanita dalam Simposium Pengangkutan Awam Darat 2015 daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), 17 November lalu.

“Sebagai tanda penghargaan jitu atas penggunaan koc wanita, kita menyediakan 5,555 baucar khas koc wanita bernilai RM2 setiap satu untuk diedarkan dengan tempoh sah laku penggunaan selama 30 hari.

“Penggunaan angka lima sebagai simbolik genap lima tahun koc wanita diperkenalkan iaitu 28 April 2010,” katanya dalam Majlis Pengiktirafan Koc Wanita Pertama di Malaysia di Kuala Lumpur Sentral, semalam.

Sarbini berkata, berdasarkan rekod 70 peratus pengguna perkhidmatan KTMB adalah wanita dan mendorong pengendali perkhidmatan awam itu memperkenalkan koc wanita bertujuan memberikan keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita.

“Menggunakan tema ‘Wanita Saja Sepanjang Masa’ atau ‘Ladies Only At All Times’ di gerabak tengah dan dibezakan dengan pelekat khas koc wanita yang berwarna merah jambu.

“Malah kita berbangga kerana menjadi contoh kepada organisasi lain yang turut memberikan kelebihan ini kepada wanita seperti penyediaan parkir khas untuk wanita, teksi dan bas,” katanya.

Sementara itu, Sarbini berkata, kebanyakan pencerobohan ke atas koc wanita dilakukan lelaki warga asing yang kurang berpengetahuan selain tidak memahami bahasa dipaparkan.

“Bagaimanapun selepas diberi penerangan khas mereka memahami koc itu hanya untuk wanita dan dilepaskan,” katanya.

Sarbini turut mengesahkan makanan disediakan di dalam perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) milik KTMB bakal menerima sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 7:52 AM