ETS tawar perjalanan sehingga ke Padang Besar, Perlis.
ETS tawar perjalanan sehingga ke Padang Besar, Perlis.

Kuala Lumpur: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang menghubungkan Kuala Lumpur hingga Padang Besar mungkin beroperasi 1 Julai ini jika menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Perkhidmatan kereta api laju itu hanya akan dibuka kepada orang ramai jika SPAD berpuas hati terhadap aspek keselamatan landasan itu.

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Leftenan Kolonel (B) Sarbini Tijan berkata, pihaknya menjangkakan bahawa perkhidmatan itu dapat digunakan sempena Aidilfitri pertengahan Julai ini.

Menurutnya, KTMB masih belum menetapkan harga tiket bagi perkhidmatan baru dan akan melihat kesesuaian yang tidak membebankan pengguna.

“Kita mengharapkan bahawa SPAD memberi kelulusan kepada KTMB untuk membuka perkhidmatan ini kepada orang ramai dan kita optimis terhadap perkara ini.

“Berdasarkan beberapa siri ujian yang dilaksanakan oleh KTMB sepanjang laluan itu, ia tidak mengalami sebarang masalah, namun SPAD sebagai agensi bertanggungjawab perlu melihat semula faktor keselamatan laluan ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Jika perkhidmatan itu diluluskan SPAD, Sarbini berkata, ia mampu membawa 300 penumpang untuk satu perjalanan menerusi destinasi bermula Kuala Lumpur, Ipoh (Perak), Alor Setar (Kedah) dan Padang Besar (Perlis).

Menurutnya, pihaknya menjangkakan bahawa dengan perkhidmatan baru itu, ia mampu mengurangkan kesesakan trafik terutamanya bagi perjalanan menuju utara.

“Selain ETS, kita juga sudah menyiapkan landasan kereta api yang rosak akibat banjir di Kelantan pada Disember tahun lalu membabitkan tiga lokasi utama iaitu Gua Musang, Kemubu dan Dabong.

“Sebelum dibuka kepada orang ramai, SPAD perlu melakukan pemeriksaan terhadap aspek keselamatan landasan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:18 AM