RAMANAN bercakap pada program Sembang Santai Koperasi di Dewan Masyarakat Perda Padang Lalang hari ini. FOTO Bernama
RAMANAN bercakap pada program Sembang Santai Koperasi di Dewan Masyarakat Perda Padang Lalang hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Nibong Tebal: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan berkata masyarakat India telah membina satu keyakinan baharu terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan telah mewujudkan pelbagai program dan inisiatif khusus untuk komuniti India termasuk RM50 juta yang disediakan melalui Skim Pembiayaan Bank Rakyat India Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).

"Pengumuman ini semua dalam masa singkat dan sekarang, kita sedang menguruskan inisiatif dan idea-idea baharu untuk memastikan komuniti ini mendapat bantuan kerajaan.

"Ia mengambil masa sedikit tetapi kita bukan buat untuk syok sendiri," katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Santai Koperasi anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia di sini hari ini.

Justeru, beliau berharap masyarakat India dapat memberikan lebih masa kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara sekali gus mewujudkan lebih banyak program dan inisiatif bagi manfaat kaum India.

Mengulas mengenai kejadian mensabotaj kempen jentera Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap, Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata, perbuatan khianat itu bukan satu teladan baik khususnya kepada generasi muda.

"Tiada gunanya kita berkempen seperti ini, ia sangat merugikan terutama kepada generasi muda. Kita perlu matang," katanya.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang pada 27 Jun lalu membuat satu laporan polis mendakwa ada pihak cuba mensabotaj kempen jentera Perpaduan dalam PRK itu dengan merosakkan gegantung dan bendera parti Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya Muhammad Fadzli Roslan mendakwa sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera dipasang di sekitar kawasan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini diturunkan pihak tidak bertanggungjawab malah ada yang dibuang di dalam longkang.

PRK Dun Sungai Bakap pada 6 Julai ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 5:22 PM