Tren kargo KTMB berlepas dari Stesen KTM Pelabuhan Klang, malam tadi. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Tren kargo KTMB berlepas dari Stesen KTM Pelabuhan Klang, malam tadi. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Oleh Siraj Zaini


Pelabuhan Klang: Tren kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membawa 120 wagon seberat 2,400 tan berlepas dari Stesen KTM Pelabuhan Klang ke Stesen KTM Padang Besar, Perlis pada 9.55 malam tadi.

Tren sepanjang 1.9 kilometer itu bakal mencatat rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) dalam kategori tren kargo terpanjang.

Rekod sebelum ini dilakukan pada 2010 dengan membawa 50 wagon saja.

Presiden KTMB Berhad Leftenan Kolonel (B) Datuk Sarbini Tijan berkata, tren itu menggunakan Lokomotif Kelas 26 yang turut dikenali Blue Tiger dan boleh menarik muatan sehingga 3,000 tan.

Katanya, tren kargo itu dijangka sampai di Padang Besar pada 1.15 petang esok.

"Penyampaian sijil MBOR akan diberikan kepada Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad sebaik kereta api berkenaan tiba esok," katanya ditemui pada majlis pelepasan tren kargo KTM, di sini, malam tadi.

Sarbini berkata, kargo itu bertujuan memberi perkhidmatan pengangkutan barang yang lebih cekap, ekonomi dan selamat.

Selain itu katanya, ia memberi alternatif kepada pergerakan kargo dari selatan Thailand sehingga ke Indo-China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 10:43 PM