AB Aziz (tiga dari kanan) bersama Sarbini (dua dari kanan) dan Nawawi Ahmad (tiga dari kiri) memotong pulut kuning sempena Majlis Ramah Mesra dan Silaturahim Aidilfitri KTMB 2015.
AB Aziz (tiga dari kanan) bersama Sarbini (dua dari kanan) dan Nawawi Ahmad (tiga dari kiri) memotong pulut kuning sempena Majlis Ramah Mesra dan Silaturahim Aidilfitri KTMB 2015.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Selepas Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis mendapat sambutan menggalakkan, pengangkutan terbabit akan diperluaskan lagi menjelang akhir tahun ini.

Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sarbini Tijan berkata, pihaknya akan memperkenalkan pula perkhidmatan ETS dari Kuala Lumpur ke Gemas, Negeri Sembilan.

“Perkara ini sedang dirancang dan diaturkan. Kita masih dalam proses persiapan terakhir sebelum perkhidmatan itu mula beroperasi secara berperingkat.

“Perkhidmatan ini menyediakan laluan perjalanan dari Kuala Lumpur dan transit di Bandar Tasik Selatan, Seremban dan Tampin sebelum berakhir di stesen Gemas, Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Ramah Mesra dan Silaturahim Aidilfitri KTMB, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Sarbini berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan itu berikutan sambutan menggalakkan pengguna terutama selepas memperkenalkan produk terbaru ETS Kuala Lumpur-Padang Besar pada 11 Julai lalu.

“Setakat hari ini (semalam), kira-kira 150,000 penumpang menggunakan ETS untuk kedua-dua perjalanan berkenaan sejak mula dilancarkan pada 11 Julai lalu.

“Sejak perkhidmatan ini dibuka kepada awam, setiap hari perjalanan kedua-dua laluan itu penuh.

“Selain itu, bagi kelancaran perkhidmatan ETS untuk kedua-dua laluan ini tidak akan melalui laluan transit di Butterworth, bermula September ini,” katanya.

Sarbini juga berkata, pada bulan depan, pihaknya akan memperkenalkan gerabak baru untuk perkhidmatan Ekspres Langkawi yang biasanya bermula di Kuala Lumpur kepada penduduk selatan tanah air.

“Perkhidmatan kelas kedua ini yang biasanya hanya beroperasi di Kuala Lumpur ke utara akan mula beroperasi di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 9:18 AM