WEE (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Lee di Kementerian Pengangkutan, hari ini. FOTO ihsan Kementerian Pengangkutan.
WEE (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Lee di Kementerian Pengangkutan, hari ini. FOTO ihsan Kementerian Pengangkutan.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerjasama dalam menghidupkan semula laluan hijau bagi perjalanan udara antara Malaysia dan Korea Selatan serta negara jalur hijau lain secara timbal balik perlu menjadi keutamaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu akan dibangkitkan Duta Besar Republik Korea Ke Malaysia, Lee Chi Beom untuk tindakan lanjut negara itu.

Beliau berkata, pada masa sama, diplomat berkenaan turut menekankan perlunya negara lain untuk mengiktiraf 'pasport vaksin' sama ada secara bilateral atau di bawah piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dengan negara yang memenuhi syarat.

"Kami membincangkan bidang lain yang mungkin kedua-dua negara dapat menjalin kerjasama dengan lebih erat terutama dalam pembangunan kereta api dan pengangkutan awam.

"Ini kerana kedua-dua negara mempunyai sejarah perkongsian dalam mengembangkan projek KTMB dan LRT," katanya ketika menerima kunjungan duta itu di pejabatnya, hari ini.

Wee berkata, Malaysia menjemput pakar Korea Selatan mengenai pengurusan komersial, pembinaan dan pengetahuan teknikal kereta api untuk bersama-sama dalam Pusat Kecemerlangan Kereta Api Nasional Malaysia (NRCOE) di Batu Gajah, Perak selain saling berkongsi pengetahuan dalam pembangunan di sana.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Korea Selatan atas Program Biasiswa Kerajaan Korea untuk Kakitangan Kereta Api Kerajaan Luar Negeri, yang akan banyak membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan kakitangan dalam perkhidmatan kereta api.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 11:55 PM