JAMBATAN Kemubu yang sudah dibaikpulih dan digunakan sejak 19 Mei lalu selepas dihanyutkan banjir besar pada 2014 menjadi laluan utama keretapi pantai timur Gua Musang - Kemubu, Kuala Krai. FOTO Syamsi Suhaimi
JAMBATAN Kemubu yang sudah dibaikpulih dan digunakan sejak 19 Mei lalu selepas dihanyutkan banjir besar pada 2014 menjadi laluan utama keretapi pantai timur Gua Musang - Kemubu, Kuala Krai. FOTO Syamsi Suhaimi
Asrizal Aris

Gua Musang: Kerajaan bersetuju memperuntukkan 13 kereta api Diesel Electric Multiple Unit (DEMU) untuk kegunaan di Pantai Timur yang dijangka beroperasi pada penghujung 2019.

Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Sarbini Tijan berkata, perkhidmatan kereta api DEMU itu akan menggantikan semua perkhidmatan kereta api penumpang yang kini digunakan di kawasan Pantai Timur dalam tempoh tiga tahun.

"Perkhidmatan kereta api elektrik ini sesuai bagi memperkasakan lagi kemudahan untuk perjalanan penumpang tempatan dan pelajar sekolah.

"Landasan yang dibaik pulih dan membolehkan kereta api itu bergerak dengan kelajuan 100 kilometer sejam menjadikan satu transformasi yang positif kepada penduduk setempat," katanya selepas mengikuti lawatan kerja Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke laluan kereta api Pantai Timur Gua Musang-Kemubu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar ketika membuat lawatan berkata, usaha KTMB menambahbaik jambatan landasan Mr Peel Kemubu yang dihanyutkan arus banjir Disember 2014 lalu, wajar diberi pujian.

"Kerja membaikpulih jambatan 200 tan dengan kos RM17.5 juta yang dilaksanakan itu sangat memuaskan.

"Usaha baikpulih yang merangkumi tiga fasa itu dijangka siap sepenuhnya Disember ini," katanya ketika membuat lawatan di sekitar pembinaan jambatan itu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 5:18 PM