Hishamuddin (kiri) menerima cenderahati dari Pengurus Operasi Bukit Merah Laketown Resort (BMLR),  Haris Fadzillah yang  menaja misi Jelajah Solo Merdeka.
Hishamuddin (kiri) menerima cenderahati dari Pengurus Operasi Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), Haris Fadzillah yang menaja misi Jelajah Solo Merdeka.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Walaupun berdepan pelbagai rintangan termasuk penaja utama menarik diri, pemilik motosikal klasik Honda S90 bertema Ghost Rider yang menjuarai lebih 40 kejuaraan seluruh Malaysia, tetap meneruskan misi Jelajah Solo Merdeka mengelilingi seluruh Perak pada 15 Ogos ini.

Pemilik motosikal itu, Hishamuddin Md Rashid, 45, seorang kerani di Jabatan Kerja Raya (JKR) Larut Matang dan Selama (LMS) berkata, jelajah solo yang bertujuan untuk membangkitkan semangat kemerdekaan serta mengajak orang ramai memperingati hari bersejarah Malaysia tetap diteruskan walaupun ada penaja terbesar menarik diri di saat akhir atas sebab tertentu.

Katanya, pihaknya terkilan dengan perkara itu namun tidak berputus asa dan tetap meneruskan misi jelajah solo.

“Saya anggap ini dugaan. Walaupun berdepan masalah penajaan, ia tidak menghalang cita-cita saya meneruskan misi kemerdekaan dan saya tekad menggunakan dana saya sendiri dalam menjayakan misi ini.

“Walaupun mungkin berdepan pelbagai risiko kelak, apa yang saya lakukan adalah demi negara tercinta dan ini adalah pengorbanan saya untuk bumi Malaysia,” katanya.

Hishamuddin berkata, pada jelajah solo mengelilingi negeri itu sepanjang 710 kilometer, dia akan membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang bersama bendera negeri bagi menyampaikan mesej memperingati sejarah kemerdekaan Malaysia kepada orang ramai di setiap daerah di Perak.

“Saya memilih cara berkonvoi dengan motosikal klasik yang menjuarai lebih 40 kali kejuaraan di seluruh Malaysia sebagai medium untuk menarik golongan muda meminati motosikal lama di samping menerapkan semangat kemerdekaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 9:13 AM