HISHAMUDDIN (tengah) bersedia untuk memulakan pengembaraan mengelilingi Perak selama 15 hari bermula semalam.
HISHAMUDDIN (tengah) bersedia untuk memulakan pengembaraan mengelilingi Perak selama 15 hari bermula semalam.
myMetro

Taiping: Biarpun keadaan cuaca panas dan hujan tidak menentu, namun itu tidak menghalang peserta siri Jelajah Solo Merdeka 2016, Hishamuddin Md Rashid, 45, untuk memulakan pengembaraannya mengelilingi seluruh Perak selama 15 hari bermula semalam.

Hishamuddin menunggang motosikal klasik bertema Ghost Rider yang memenangi lebih 40 kejuaraan seluruh Malaysia, memulakan misi pengembaraannya jam 10 pagi di Dataran Taiping yang dilepaskan secara rasmi oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Zainal Abidin Sheikh Mokhar.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong Datuk Dr Zabri Abd Wahid dan Yang Dipertua Kelab Sukan Bermotor Selinsing (KRISBES), Mohamad Noor Dawoo.

Menurut Hishamuddin, dia diiringi lebih 30 sukarelawan bermotor termasuk Skuad Muda 1 JPJ (SM1JPJ), serta diiringi dua kenderaan JPJ, memulakan tunggangan dari Bandar Taiping menuju Daerah Kerian, Selama dan Gerik.

Katanya, perjalanan itu melebihi 180 kilometer akan berhenti di lima lokasi terpilih iaitu Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), Bagan Serai, Parit Buntar, Selama dan tamat di Gerik sebelum memulakan perjalanan seterusnya menghala Lenggong dan Kuala Kangsar pada hari berikutnya.

“Saya mengharapkan keseluruhan perjalanan jelajah ini berjalan dengan lancar dan tiada sebarang permasalahan besar berlaku.

“Walaupun cuaca agak panas dan hujan tidak menentu, namun ia tidak menghalang misi jelajah solo ini dan tekad menghabiskan misi ini walaupun dijangka berdepan dengan pelbagai rintangan fizikal dan mental kelak,” katanya ketika ditemui.

Hishamuddin mengakui terharu dan bersyukur dengan sambutan penduduk serta pemimpin setempat yang menyambut baik dia dan rombongan sewaktu tiba beberapa di lokasi perhentian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:14 AM