Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Meskipun berdepan hujan selama enam jam bermula dari Kuala Terengganu, penunggang motosikal klasik solo, Hishamuddin Md Rashid selamat tiba ke Kota Bharu.

Hishamuddin, 52, atau lebih mesra disapa dengan panggilan Kojeq tiba di bandar ini jam 3 petang tadi dengan diiringi 20 penunggang motosikal klasik dari negeri ini yang juga ahli Kelab Kelantan Custome Rare (KCR) yang 'menjemputnya' di Tok Bali, Pasir Puteh.

Kojeq berkata, situasi hujan sudah dapat dijangka memandangkan jelajah solonya itu dirancangkan pada hujung tahun dan dia sudah membuat persediaan rapi untuk berdepan dengan segala kemungkinan.

"Saya bertolak dari Kuala Terengganu pada jam 9 pagi tadi dan hujan sudah bermula dari sana sehingga tiba ke Kelantan namun tidaklah lebat.

"Tiada cabaran besar lain yang saya hadapi sebaliknya perlu berhati-hati kerana bimbang jalan licin atau apa sahaja risiko yang boleh berlaku ketika menunggang motosikal di jalan raya dalam situasi hujan," katanya ketika ditemui di Dataran Muhammadi di sini, hari ini.

HISHAMUDDIN atau Kojeq bergambar di hadapan Pintu Gerbang menara Rehal di Dataran Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
HISHAMUDDIN atau Kojeq bergambar di hadapan Pintu Gerbang menara Rehal di Dataran Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memulakan siri jelajah Semenanjung Malaysia bermula Khamis lalu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan misinya adalah untuk menamatkan perjalanan sejauh 2,000 kilometer (km).

Jelajah solonya dengan menunggang motosikal klasik jenis Honda S90 keluaran tahun 1974 itu sudah tiba sembilan negeri dan akan meneruskan perjalanan ke baki tiga lagi negeri dan pagi esok dia akan bergerak ke Pengkalan Hulu, Perak.

"Setakat lima hari jelajah ini, motosikal saya tidak berdepan dengan kerosakan serius kecuali pancit dan patah batang sub namun berjaya dibaiki oleh mekanik dan ada tiga lagi negeri yang masih berbaki iaitu Perak, Perlis serta Kedah sebelum jelajah solo ini tamat di Taiping, Perak pada Khamis nanti.

"Setiap negeri yang tiba, saya akan berjumpa dengan 'leader' permotoran selain berkenalan dengan mereka yang sama-sama meminati bidang ini dan bertukar pandangan.

"Jelajah ini adalah kali kedua selepas jelajah yang sama dijalankan pada 2016 dan untuk menjayakan misi ini, saya mengambil cuti tahunan selama enam hari ," katanya yang juga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Taiping.

Bagi wakil Kelab KCR, Shazwan Saupi, perkembangan Kojeq dalam bidang permotoran klasik sudah lama diikutinya dan kedatangan lelaki itu ke Kelantan amat ditunggu.

Dia berkata, seramai 20 ahli kelab menunggu Kojeq di sempadan Tok Bali, Pasir Puteh sejak jam 1.30 tengah hari tadi dengan menunggang motosikal Honda C70 dan mengiringi sehingga ke Kota Bharu.

"Kami ingin meraikan misi yang dijalankan Kojeq dan Jelajah mengelilingi Semenanjung Malaysia ini memberi inspirasi kepada kami untuk turut mencubanya sebagai aktiviti kelab," katanya.

HISHAMUDDIN bergambar di hadapan Pintu Gerbang menara Rehal selepas diiringi 20 penunggang motosikal klasik dari negeri ini yang juga ahli Kelab Kelantan Custome Rare (KCR). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
HISHAMUDDIN bergambar di hadapan Pintu Gerbang menara Rehal selepas diiringi 20 penunggang motosikal klasik dari negeri ini yang juga ahli Kelab Kelantan Custome Rare (KCR). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 9:49 PM