Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Penunggang solo motosikal klasik, Hishamuddin Md Rashid yang melakukan jelajah Semenanjung Malaysia sempena Tahun Melawat Perak 2017 (TMP 2017) selamat tiba di perkarangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, hari ini.

Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Taiping itu, 45, memulakan jelajahnya sejak 15 Disember lalu dan akan tamat pada 31 Disember ini di Ipoh, Perak, dengan jarak perjalanan sejauh 2,187 kilometer (km).

Hishamuddin atau nama samarannya Kojeq menggunakan motosikal klasik Honda S90 tahun 1974 dalam misi solonya menjelajah 12 negeri.

Ketibaan Kojeq pada 10 pagi tadi disambut Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Sharif sebelum dia dibawa melawat pejabat JPJ dan mengedarkan risalah promosi TMP 2017.

Kojeq berkata, sesi jelajah itu anjuran bersama Skuad Muda 1JPJ Perak dengan sokongan kerajaan negeri.

Menurutnya, misinya sudah hampir tercapai dan akan meneruskan perjalanan ke Perlis sebelum bermalam di sana hari ini dan ke perjalanan ke Pulau Pinang, esok.

"Pelbagai cabaran dan halangan dilalui sepanjang jelajah ini seperti motosikal mengalami kerosakan dan menghadapi cuaca tidak menentu namun tidak mematahkan semangat sebaliknya saya tetap meneruskan misi ini.

"Sebaik cabaran ini tamat nanti saya bercadang ingin melakukan jelajah sama di Asia pula bagi membuktikan motosikal yang sudah berusia 42 tahun ini masih mampu berjalan jauh," katanya ketika ditemui di perkarangan JPJ Kedah, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 3:35 PM
HISHAMUDDIN (berdiri, lima kiri) bersama Isma Suhaimi (berdiri, enam kanan) bergambar bersama Skuad Muda 1JPJ Perak dan anggota JPJ Kedah. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
HISHAMUDDIN (berdiri, lima kiri) bersama Isma Suhaimi (berdiri, enam kanan) bergambar bersama Skuad Muda 1JPJ Perak dan anggota JPJ Kedah. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
ISMA Suhaimi (dua kiri) memeriksa motosikal klasik Honda S90 milik Hishamuddin (tengah). FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
ISMA Suhaimi (dua kiri) memeriksa motosikal klasik Honda S90 milik Hishamuddin (tengah). FOTO Muhaamad Hafis Nawawi