BERMAIN ular 'Mexican Black Kingsnake'.
BERMAIN ular 'Mexican Black Kingsnake'.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


FIZIKAL ular ini berwarna hitam keseluruhan dan berkilat membuatkannya kelihatan seperti ular yang berbisa serta ganas.

Tetapi sebenarnya 'Mexican Black Kingsnake' adalah spesies ular tidak berbisa, jinak dan dianggap sebagai subspesies raja ular biasa.

Ramai tidak mengetahui kewujudan reptilia ini yang boleh dijadikan sebagai haiwan peliharaan, selain mudah dijaga.

Salah seorang peminat 'Mexican Black Kingsnake' ialah Amar Ma'arof, 26, yang memelihara ular itu sejak tiga tahun lalu sebagai hobi.

Menurutnya, dia tertarik untuk memelihara reptilia ini kerana terpikat dengan kecantikan fizikal haiwan itu berwarna hitam berkilat yang dianggap unik.

"Semua ini selepas melihatnya di media sosial dan membelinya secara dalam talian daripada beberapa pemilik spesies ular berkenaan.

"Selain itu, 'Mexican Black Kingsnake' juga mirip spesies ular 'Black Mamba' iaitu sejenis ular sangat berbisa.

"Saya membelanjakan RM9,000 untuk membeli enam ekor 'Mexican Black Kingsnake' yang berasal dari Mexico," katanya.

Jelasnya, daripada enam ekor, dia berjaya membiakkan ular ini kepada sembilan ekor.

"Saya masih dalam proses mempelajari teknik membiakkan ular ini yang masih tidak dapat tarikh tepat untuk repitila itu mengawan.

"Ular ini jenis yang memakan antara mereka dan itu menjadikan saya takut untuk mencampurkan ular jantan dan betina terlalu lama," katanya.

Dia yang menetap di Kelantan berkata, waktu mencuba untuk 'mengawankan' ular itu ialah selepas tempoh herbinasi dan bersalin kulit.

"Baru-baru ini, ular bertelur 24 biji tetapi hanya tiga biji yang berjaya menetas dan anak ular masih hidup.

"Saya mempelajari teknik membiakkan dan memelihara ular menerusi kenalan Facebook dari Amerika Syarikat serta Malaysia. Ia adalah ilmu pembelajaran yang menarik," katanya.

Katanya lagi, setiap ular ini mempunyai banyak ragamnya. Ada jenis yang suka dipegang, suka makan dan suka mematuk apabila cuba disentuh.

Amar berkata, namun ia sejenis reptilia yang mudah dijaga dan hanya menjadikan kotak sebagai tempat 'kediamannya.'

Tambahnya, ular itu mempunyai saiz fizikal sederhana dengan berat kira-kira satu kilogram dan panjangannya ialah 1.2 meter apabila dewasa.

"Kos perbelanjaan ular ini juga rendah iaitu lebih kurang RM100 sebulan untuk makanannya.

"Saya dapat menjimatkan banyak kos kerana membiakkan sendiri tikus untuk makanan ular dan kemudian dibekukan," katanya.

Amar berkata, dia memberi ular makan tikus tiga kali seminggu dan mengurangkan makanan itu jika ular mencapai berat badan berlebihan.

Katanya, masalah kesihatan yang lazimnya dialami ular peliharaannya ialah jangkitan pernafasan. Ia dapat dilihat apabila reptilia ini bernafas melalui mulut.

"Jika ini berlaku, saya akan dedahkan ular ini kepada cahaya matahari dan kesihatannya akan kembali pulih.

"Apabila ada cecair berbuih keluar daripada mulutnya itu adalah gejala haiwan berkenaan hendak mati.

"Satu lagi ciri-ciri ular ini ialah tidak makan pada musim tengkujuh selama dua bulan. Dalam tempoh itu, reptilia itu menjadi kurang aktif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 7:00 AM