Kuala Lumpur: Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun.

Katanya, sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak membabitkan pengguna Sabah dan Sarawak.

"Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, Kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

"Ia membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

"Ini termasuk pengusaha bas dan teksi, malah Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu," katanya dalam pada Perutusan Negara Oleh Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, malam ini.

Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

"Ini bermakna golongan B40 dan M40 yang menggunakan diesel dalam bidang pertanian, perlombongan, penternakan dan nelayan akan terus dibantu," katanya.

Anwar berkata, golongan yang tidak mendapat manfaat daripada penyasaran subsidi ini adalah T20, iaitu golongan terkaya dan rakyat asing.

"Rakyat jangan bimbang, sebarang penyasaran subsidi tidak akan bebankan rakyat.. ia hanya memberi kesan kepada golongan maha kaya dan rakyat asing.

"Jika ada rakyat yang terbeban ada ruang untuk mereka rujuk kepada Kementerian Pengangkutan atau kementerian berkaitan supaya dapat dipastikan penyasaran subsidi bahan api diesel hanya memberi kesan kepada golongan kaya dan orang asing sahaja.

"Kita perlu penyasaran subsidi ini kerana tidak mampu memberi subsidi kepada golongan maha kaya dan warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 10:05 PM