PASUKAN regu negara, Farhan Adam, Mohammad Syahir Rosdi dan Muhammad Azlan Alias meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Myanmar pada perlawanan separuh akhir regu lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PASUKAN regu negara, Farhan Adam, Mohammad Syahir Rosdi dan Muhammad Azlan Alias meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Myanmar pada perlawanan separuh akhir regu lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pasukan regu negara tidak takut bertemu Thailand di pentas final dan akan berikan persembahan lebih 100 peratus di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa malam esok.

Menurut apit kanan negara, Mohamad Azlan Alias, untuk perlawanan akhir esok, dirinya berjanji akan memberikan segalanya sekali gus menghadiahkan kejuaraan di halaman sendiri.

Jelasnya, dia percaya pasukan negara boleh mencipta sesuatu di hadapan penyokong sekali gus mengecewakan Thailand.

"Saya percaya esok akan ada keajaiban Insya-Allah, kami akan buat yang lebih baik seperti penonton hendak (kemenangan). Untuk final, saya akan beri lebih daripada 100 peratus bagi memastikan kejuaraan di halaman sendiri.

"Perlawanan esok penting dan saya tiada perasaan takut jumpa Thailand sebab saya percaya pada rezeki, kalau betul ada rezeki esok Malaysia menang, menanglah esok," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, beliau berharap kedua-dua acara double dan regu dapat menampilkan aksi terbaik di final esok.

Katanya, pemain perlu yakin dengan kemampuan yang ada dan jangan sesekali gentar dengan pasukan Thailand.

"Kita mengharapkan pemain tidak terlalu pandang tinggi kepada barisan pemain Thailand supaya kita dapat memberi persaingan dan satu kejutan dalam perlawanan esok (final).

"Kita harapkan juga pada pemain mempamerkan semangat melawan dan mereka dapat mengambil satu semangat juang tinggi untuk memperbaiki keputusan di final (selepas tewas beberapa kali kepada Thailand)," katanya.

Terdahulu pasukan regu negara bersahaja melangkah ke final selepas menewaskan Myanmar 2-0 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Malaysia yang menurunkan trio terbaik Mohammad Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Mohamad Azlan Alias ternyata lebih agresif dalam memburu mata untuk mendapatkan kemenangan dengan straight set 15-3, 15-11.

Bagi aksi final yang akan berlangsung esok malam, Malaysia sekali lagi akan bertemu Thailand yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan akhir selepas menewaskan Filipina 15-4 ,15-8 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir .

Sementara itu, pasukan double negara juga mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menewaskan Myanmar dengan straight set 15-10, 17-16 untuk bertemu Thailand yang menang ke atas Indonesia 15-8, 15-13.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 11:23 PM