BERMESRA dengan spesies ular eksotik yang dipamerkan.
BERMESRA dengan spesies ular eksotik yang dipamerkan.
Hidayatidayu Razali


BAGI peminat haiwan eksotik, jangan ketinggalan mengunjungi Muzium Negeri Kelantan sempena Pameran Haiwan Eksotik sehingga 31 Januari depan.

Lebih 50 jenis haiwan eksotik dari beberapa negara dipamerkan dan ia bertujuan memberi peluang kepada orang ramai meneroka kehidupan haiwan berkenaan.

Pengarahnya, Ahmad Shargowi Derahman berkata, pameran secara berfasa itu mempamerkan haiwan termasuk dari Mexico, Afrika, China dan Amerika.

Antaranya termasuk tarantula, ular Brazil, katak besar, tikus dan meerkat.

"Menariknya, pameran ini lebih berkonsep mesra haiwan kerana bukan sahaja mudah didekati, malah pengunjung boleh memberi makanan.

"Ia sekali gus menjadi tarikan terbaharu dan secara tidak langsung memberi pendedahan kepada kanak-kanak serta pelajar yang ingin merasai pengalaman melihat lebih dekat kumpulan haiwan eksotik itu," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Afiq Ramli, 26, berkata, dia tidak melepaskan peluang mengunjungi pameran berkenaan kerana minat mendalam terhadap haiwan eksotik terutama ular.

Kata Mohd Afiq, musim pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu membuka lembaran baharu buat dirinya apabila dia membeli seekor ular sawa untuk mengisi masa lapang.

"Sebelum itu, saya kerap berkunjung ke rumah rakan untuk mendekati dan mempelajari cara memelihara serta menjaga reptilia itu.

"Selepas keberanian mula ada, baru saya membeli seekor anak ular sawa sebelum menambah tiga ekor lagi ular raja Mexico.

"Spesies ular itu jinak dan tidak berbisa, hobi berkenaan sesuai dengan kerjaya ketika ini iaitu sebagai penjaga haiwan," katanya pada pameran berkenaan.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu lagi, penjagaan ular peliharaannya tidak rumit dan diberi makan tikus putih setiap dua minggu sekali.

"Kos bagi makanan ular yang dibela hanya sekitar RM100 sebulan kerana ia masih kecil.

"Tetapi, jika ular sudah dewasa, kos makanannya meningkat kerana perlu diberi makanan lain seperti ayam dan sebagainya," katanya.

Jelasnya, ular sawa dewasa juga memerlukan tempat lebih luas berbanding ular raja Mexico hanya diletakkan dalam bekas bertutup yang ditebuk lubang.

Kata Mohd Afiq, dia juga pernah berdepan pengalaman dipatuk ular sebanyak dua kali.

"Untuk mengelakkan perkara itu berulang, saya mengambil langkah berjaga-jaga sebelum memegang haiwan berkenaan," katanya.

Sementara itu, mengulas bagaimana boleh bekerja sebagai penjaga haiwan termasuk ular, Mohd Afiq berkata, dek kerana minat dengan spesies berkenaan, dia memohon kerja dengan sebuah syarikat sebagai penjaga haiwan.

Dia juga bersyukur kerana diterima bekerja, sekali gus dapat berkongsi ilmu dengan masyarakat mengenai spesies haiwan yang ada termasuk jenis eksotik.

"Kita tahu persepsi masyarakat terhadap ular dan menganggap reptilia itu sangat berbisa dan jika terjumpa pasti akan lari atau memukulnya sampai mati.

"Sebenarnya ada yang spesies tidak berbisa dan tidak perlu ditakuti selain mempunyai nilai tinggi di pasaran. Jika ada info yang betul, kita pasti lebih menghargai haiwan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 7:00 AM