MOHD Sabron Jamil menunjukkan lengan kiri yang dipatuk tedung selar.
MOHD Sabron Jamil menunjukkan lengan kiri yang dipatuk tedung selar.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


KUANTAN: Tragedi yang menimpanya tujuh tahun lalu pernah menggemparkan negara, malah ketika itu semua perhatian terarah kepadanya.

Manakan tidak, patukan ular tedung selar betina diberi nama Hana itu hampir meragut nyawa Mohd Sabron Jamil Kamarudin, 33, dan menyebabkannya koma tiga hari di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Tangan kirinya kini hilang keupayaan dari paras siku ke bawah dan kehidupannya tidak sesempurna.

Katanya, kejadian itu memberi pengajaran termasuk kesilapannya mengendalikan reptilia berbisa itu.

“Saya akui kejadian itu berpunca daripada kesilapan saya kerana biasanya saya memegang Hana menggunakan tangan kiri tetapi pada hari kejadian saya cuba menukar pegangan tangan.

“Mungkin cara memegang menggunakan tangan kanan tidak selembut biasa membuatkan Hana berasa terancam dan menggigit tangan kiri saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Karang Darat, di sini.

Meskipun ketangkasannya memegang dan mengendalikan ular terbatas namun khidmatnya masih diperlukan malah sering dipanggil penduduk untuk menangkap reptilia yang memasuki kediaman mereka.

Malah, adakalanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) meminta bantuannya jika mereka berdepan kesukaran untuk menangkap ular.

“Panggilan yang saya terima tidak menentu, adakalanya siang malah pernah juga dipanggil pada tengah malam atau awal pagi..saya pergi membantu tanpa meminta bayaran,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang 1 Mac 2012, Mohd Sabron Jamil dipatuk tedung selar ketika membersihkan kandang reptilia itu.

Dia bertarung nyawa empat jam berikutan HTAA tidak mempunyai stok antivenom dan mendapatkannya dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anak ketiga daripada enam beradik itu terlantar di hospital tiga bulan dan doktor mengesahkan tangan kirinya tidak lagi berfungsi.

Kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) ini berkata, minat dan obsesinya terhadap ular dilihat menurun kepada dua anaknya, Nur Isra Adlina, 4, dan Izz qarriz khan, 2.

Setiap kali dia bermain dengan ular, mereka bertanya pelbagai soalan malah berani memegangnya.

Menurutnya, dia kini memelihara empat ular iaitu mexican black, ball python, green burmese dan corn snake.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:00 AM