SALAH satu aksi bersama haiwan peliharaannya
SALAH satu aksi bersama haiwan peliharaannya
Paya Linda Yahya


BUKAN hanya memiliki 200 ekor haiwan yang dikategorikan dalam golongan 'raptor,' malah salah seorang peminat haiwan eksotik ini turut membuat makanan pallet ular dan ubat-ubatan tambahan sendiri untuk haiwan kesayangannya.

Malah pallet dan ubat-ubatan tambahan itu turut mendapat permintaan daripada rakan-rakan dan mereka yang mempunyai hobi sama di seluruh Malaysia.

Usaha dilakukan Muhammad Helmi Izzuddin Yusof, 31, turut mendapat sokongan daripada isteri, Zulfarina Binti Zulkifli, 30, yang turut mengiklan produk buatan mereka di media sosial. Ia selepas mendapat latihan dan bimbingan daripada pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Gua Musang, Kelantan.

Menurut Muhammad Helmi, dia mula mencipta pallet ular peliharaan pada tahun 2018 menggunakan bahan-bahan semula jadi.

Pada dua tahun pertama, dia cuba membuat kajian dan percubaan memberi pallet terbabit kepada ular kesayangannya sebelum menjualnya secara kecil-kecilan.

Katanya, bermula 2020 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai pemilik ular sukar mendapat makanan, jadi dia mengambil inisiatif menjual makanan pallet ular terbabit.

"Sebelum ini saya tinggal di Pulau Langkawi, Kedah sukar untuk mendapat pembekal untuk makanan ular ini. Dari situ saya mendapat idea untuk mencipta pallet makanan ular.

"Disebabkan hobi, saya mengumpul data, mencari maklumat menerusi pembacaan dan perkongsian pengalaman daripada pemilik serta kawan-kawan rapat.

"Melalui data yang dikumpul dan kajian yang dibuat, saya menghasilkan pallet makanan untuk ular dan ubat-ubatan tambahan bagi haiwan peliharaan seperti reptilia dan mamalia kecil," katanya.

HELMI menunjukkan antara haiwan eksotik yang di belanya.
HELMI menunjukkan antara haiwan eksotik yang di belanya.

Dia yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pertanian Sains Haiwan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Serdang, Selangor dan Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan UPM Kampus Bintulu, Sabah itu mula membela ular pertama 11 tahun lalu.

"Saya bermula sebelas tahun lalu, ketika belajar di UPM Serdang. Dari situ saya mula berjinak-jinak dengan memelihara ular.

"Pada mulanya hanya haiwan yang kecil tapi disebabkan minat dan perasaan ingin mencabar diri, saya terus cuba 'mengawankan' ular dewasa dan akhirnya berjaya 'menetaskan' anak ular pertama 10 tahun lalu.

"Sehingga kini saya memiliki hampir 200 ekor haiwan daripada pelbagai spesies antaranya Western Hognose Snake, Cornsnake, Sailfin Dragon, Blue Tongue Skink, Leopard gecko, Tarantula, Pacman Frog dan Pixie Frog," katanya.

Tambahnya, setiap anak ular yang berjaya dibiakkan dijual kepada mereka yang berminat dan ular terbabit adalah tidak berbisa, jinak serta sesuai untuk semua peringkat usia peminat haiwan ini.

"Dengan adanya pallet yang sudah siap, pemilik reptilia itu boleh memberi pallet sebagai makanan utama. Pallet ini memgandungi nutrien yang optimum untuk tumbesaran dan pembiakan reptilia terbabit," katanya.

Menurut Muhammad Helmi, penjagaan ular tidak terlalu cerewet kerana haiwan itu hanya perlu dibersihkan jika kotor atau berbau najis.

"Ular yang dibela hanya perlu dimandikan ketika ia kotor atau berbau najis. Cara mandikan ialah dengan membiarkan ular berenang dalam air kedalaman separuh dari badan ular, dijemur di bawah cahaya matahari pada jam 11 pagi selama lima minit. Lepas lima minit, ia berenang, keluar najis dan bersih badan. Lap kemudian letak balik ke dalam bekas 'individu.'

ANTARA ubat untuk haiwan belaan seperti kucing yang dibuat sendiri oleh Helmi.
ANTARA ubat untuk haiwan belaan seperti kucing yang dibuat sendiri oleh Helmi.

PALLET makanan ular yang dibuat oleh Helmi untuk ular yang dibelanya, turut dijual kepada peminat haiwan itu.
PALLET makanan ular yang dibuat oleh Helmi untuk ular yang dibelanya, turut dijual kepada peminat haiwan itu.

"Kos untuk memelihara reptilia ini sebenarnya murah, yang mahalnya ialah spesiesnya. Spesies seperti Hognose Snake, Cornsnake, Leopard gecko, Sailfin Dragon dan lain-lain bermula pada RM100 hingga lebih RM5,000.

"Harga untuk makanan sama saja bagi setiap haiwan, penjagaan untuk makanan juga tidak susah contohnya ular, reptilia ini makan seminggu sekali dan perlukan air 24 jam serta tempat yang kemas dan bersih," katanya.

Bagi ular katanya, penjagaan sangat mudah iaitu pastikan haiwan terbabit sihat dan cukup makan supaya dapat menghasilkan telur serta anak.

"Paling mahal saya jual anak Western Hognose Snake RM950 seekor," katanya.

Manakala bagi Zulfarina pula, dia menyokong penuh minat suaminya itu dan tidak menyangka akan menjadi sumber pendapatan sampingan untuk keluarga.

Pada mulanya dia juga agak takut dan geli dengan reptilia yang dipelihara, tetapi kini sudah terbiasa dengan haiwan terbabit selain turut membantu suami menjaganya.

"Sebelum berkahwin saya sudah maklum akan minat suami ini. Bagi saya tidak masalah untuk dia membela reptilia ini, yang penting aspek kebersihan perlu diutamakan.

"Alhamdulillah semuanya tidak ada masalah sepanjang menjaga semua reptilia ini memandang suami sudah mempunyai pengalaman dalam aspek penjagaan.

"Saya dulu pun geli dan takut, tapi kini sudah boleh memegang dan membelainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 7:01 AM