Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor mengesahkan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membantu siasatan berhubung kebocoran maklumat tidak tempat berkaitan kewangan dan keputusan pelaburan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya ada memanggil Mohamed Azmin ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

"Rakaman percakapan ini adalah untuk membantu satu siasatan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat.

"Barang siapa yang mendedahkan apa-apa maklumat atau perkara yang sudah diperolehi olehnya dalam pelaksanaan tugasnya atau menjalankan fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

"Siasatan ini dimulakan ekoran satu laporan polis pada 14 Mac lalu oleh seorang pegawai PKNS yang mendakwa dokumen sulit PKNS dibocorkan dan beberapa maklumat tidak tepat didedahkan kepada umum.

"Perkara ini dikhuatiri boleh menjejaskan imej serta nama baik PKNS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein berkata, pihak polis sudah memanggil seramai 15 saksi dan dirakam percakapan mereka.

"Polis juga mengesahkan kehadiran Datuk Seri Azmin Ali bagi membantu siasatan kebocoran dokumen terbabit dan bukan mengenai perkara yang dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 28 Februari lalu.

"Polis menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat sehingga siasatan polis selesai dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 9:11 PM