TARANTULA yang jarang ditemui.
TARANTULA yang jarang ditemui.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEBANYAKAN hobi masyarakat di negara ini ialah membela haiwan jinak seperti kucing, arnab, burung dan ikan.

Jarang sekali yang berminat memelihara haiwan berbisa seperti ular, kala jengking, lipan atau tarantula kerana lebih berisiko dan tidak boleh bermanja mahupun dibelai.

Namun, dek kerana minat, pemuda dari Georgetown, Pulau Pinang, Feezuan Fauzan, 32, sanggup membela beberapa spesies haiwan berbisa seperti ular, lipan, tarantula dan lipas gergasi sebagai hobi serta dijual kepada yang berminat.

Minat anak kedua daripada tiga beradik terhadap spesies haiwan itu timbul selepas dia menyaksikan pertunjukan ular berbisa ketika berusia 16 tahun.

Sejak itu, dia mula mencari maklumat berkaitan penjagaan haiwan berbisa dan sumber untuk mendapatkannya.

Kata Feezuan, pada awalnya keluarga melarang kerana bimbang keselamatannya.

Selepas melihat kesungguhan Feezuan, keluarga mula menerima dan membenarkannya dengan syarat aspek keselamatan perlu sentiasa diutamakan.

FEEZUAN bersama lipas Gromphadorhina portentosa yang dibelanya.
FEEZUAN bersama lipas Gromphadorhina portentosa yang dibelanya.

"Saya bermula dengan membela ular jenis cornsnake dan ular sawa Afrika sebelum membeli beberapa spesies lipan serta tarantula dari luar negara.

"Sebelum ini, terdapat puluhan jenis spesies haiwan berbisa dalam koleksi, tetapi sekarang hanya tinggal kira-kira 50 jenis.

"Ini kerana saya dan rakan kongsi hanya mahu memberi tumpuan kepada koleksi 'high end' yang bernilai tinggi jika dijual," katanya.

Antara spesies haiwan berbisa yang dimiliki adalah lipan Scolopendra sp black gigantea yang berasal dari Peru dan lipas gergasi.

 ANTARA lipan yang termahal di dunia, spesies Scolopendra sp Black gigantea.
ANTARA lipan yang termahal di dunia, spesies Scolopendra sp Black gigantea.

"Spesies lipan itu antara paling mahal di dunia dan harganya boleh mencecah RM30,000 seekor manakala Scolopendra sp. Malaysian jewel adalah spesies paling cantik di Malaysia.

"Spesies lipas Blaberus Gigantus dari Trinidad dan Tobago serta Gromphadorhina portentosa dan Therea petiveriana yang tidak boleh terbang juga unik kerana saiznya boleh mencecah 0.1 meter (empat inci).

"Semua haiwan itu, bagaimanapun tidak dibela di rumah kerana ia bukan haiwan jinak sebaliknya ditempatkan di kawasan khas yang disewa bersama rakan kongsi," katanya.

Feezuan berkata, memelihara haiwan itu tidak memerlukan kos penjagaan atau makanan yang tinggi.

Katanya, lipan hanya diberi makan cengkerik atau lipas seminggu sekali manakala lipas pula hanya makan buah-buahan atau sayuran.

"Haiwan lain seperti tarantula juga hanya makan seminggu sekali dan makanannya hanya lipas atau cengkerik.

"Jika dikira, kos makanan dan penjagaan lain tidak mahal iaitu kurang dari RM100 sahaja sebulan," katanya.

Jelas Feezuan lagi, dia banyak mempelajari cara untuk mengawal haiwan terbabit melalui pembacaan selain merujuk rakan yang mempunyai hobi sama.

Kata Feezuan, disebabkan semua haiwan terbabit tidak boleh dibelai, ia diletakkan dalam akuarium dan bekas khas.

"Meskipun hanya untuk 'dilihat', namun ia tidak mengurangkan perasaan sayang kepada haiwan berbisa itu.

"Lain orang lain minatnya, bagi saya tidak salah memiliki hobi lain dari yang lain ini asalkan tahu batasnya dan pandai menjaga diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:12 AM