Kuala Lumpur: Sebahagian daripada penjimatan yang diperoleh hasil pengurusan kewangan negara yang baik dapat digunakan untuk menambah baik bantuan kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antaranya menambah baik Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta, iaitu lebih lima kali ganda berbanding RM130 juta tahun lalu.

"Kita juga meluaskan bilangan penerima kepada 700,000 dan menambah nilai bantuan kepada RM1,200 berbanding RM600.

"Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga kita dinaikkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion (2023) kepada RM10 bilion tahun ini yang memanfaatkan sekitar sembilan juta penerima bersamaan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia," katanya dalam Perutusan Negara Oleh Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, malam ini.

Anwar berkata, bantuan murid juga ditambah baik, apabila Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diperluaskan kepada semua murid daripada Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dengan peruntukan hampir RM800 juta, bermula tahun lalu.

"Hanya di bawah Kerajaan Madani, Insentif Pengeluaran Getah dinaikkan bukan sekali, tetapi dua kali iaitu daripada RM2.50 sekilogram pada 2022 kepada RM2.70 sekilogram (2023) dan RM3 sekilogram pada tahun ini.

"Kerajaan Madani juga mengambil langkah meningkatkan

pendapatan pesawah.

"Kadar Skim Subsidi Harga Padi sudah ditingkatkan daripada RM360 (2022) kepada RM500 per metrik tan pada tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 10:26 PM