Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan masuk campur proses kehakiman dan akan memberi ruang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada dalam kalangan rakyat yang membangkitkan jika benar rasuah masih bermaharaja lela mengapa tidak kerajaan segera menghukum mereka.

"Kita semua harus memahami bahawa jalur hukum serta proses mahkamah itu perlu bebas dan mengambil masa. Ini hendaklah dihormati oleh semua pihak.

"Kerajaan beri ruang sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa dalam memperhebat usaha membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara habis-habisan.

"Selain itu, peranan Jabatan Audit Negara juga diperkasa supaya tatakelola dalam perkhidmatan awam dapat ditambah baik.

"Mengapa hal rasuah ini saya ulang sebut berkali-kali? Mungkin ada yang memandang remeh bahawa ini hanya sekadar cakap politik.

"Tetapi akibatnya besar sekali yang mungkin tidak ramai sedari bahawa kesannya berantai dan menjalar hingga ke bawah," katanya dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.

Anwar berkata, sebagai contoh menerusi tender terbuka dalam projek Rancangan Tebatan Banjir mampu menjimatkan wang rakyat sehingga RM2 bilion.

"Kemudian penyeludupan kerana sekarang kita ada agensi khas, penyeludupan itu diizinkan (maka) hasil negara terus tiris dan menyaksikan hasil negara tiris hingga RM2 bilion sejak 2017.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Tiris bagi membanteras penyeludupan diesel yang selama ini amat merugikan kartel minyak masak, ayam dan telur dipecahkan supaya harga dan bekalan terkawal dalam meredakan kos sara hidup.

"Apakah angka-angka ini tidak bermakna buat kita? Sekiranya dikumpul, ia dapat dimanfaatkan untuk menambah bantuan rakyat dan meningkatkan mutu prasarana rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 10:37 PM