Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pelaburan asing ke Malaysia dijangka melonjak tahun ini dengan penyertaan negara seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dapat disaksikan dengan potensi pelaburan asing yang diterima negara setakat Mac lalu iaitu sebanyak RM76.1 bilion.

"Bagi 2024, setakat Mac sahaja, kita berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion dan ini dicatatkan selain daripada pelaburan tradisional seperti Amerika Syarikat (AS), China dan kini Australia dengan sebanyak RM24.5 bilion.

"(Pelaburan dari) Jerman dan Perancis, RM46 bilion. Rekod tahun ini tentu akan melonjak lebih-lebih lagi dengan penyertaan Arab Saudi, UAE dan Qatar," katanya dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan serius untuk menggubal Dasar Gaji Progresif membabitkan sektor swasta bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Beliau berkata, usaha itu penting kerana ramai golongan muda serta graduan sering bertanya mengenai nasib mereka berhubung perkara berkenaan.

"Kita serius menggubal Dasar Gaji Progresif yang membabitkan sektor swasta kerana ramai anak muda serta graduan bertanyakan apa nasib mereka.

"Jadi, berserta dengan sasaran gaji baharu sektor awam akan memberi mesej jelas kepada sektor swasta, supaya mencatatkan keuntungan tinggi janganlah dengan meninggalkan peluang dan kedudukan pekerja sama ada peringkat bawahan atau profesional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 10:48 PM
ORANG ramai menyaksikan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui televisyen malam ini. FOTO Bernama
ORANG ramai menyaksikan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui televisyen malam ini. FOTO Bernama