DATUK Mohd Azizulhasni Awang mewakili Terengganu mengungguli acara pecut lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional. FOTO AZRUL EDHAM
DATUK Mohd Azizulhasni Awang mewakili Terengganu mengungguli acara pecut lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Nilai: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, akui menggalas tanggungjawab dan amanah yang tinggi dalam misi memburu kilauan pingat emas buat negara pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Menurut pelumba berasal dari Terengganu ini, meskipun misi itu bukan suatu tugas mudah, namun sebagai atlet berpengalaman, beliau sedang berusaha keras dalam misi merealisasikan sasaran berkenaan.

"Ialah memang ia suatu bebanan, dan tak boleh nafikan perkara itu, tapi bagi saya ia suatu tanggungjawab kerana saya antara pelumba paling senior dalam pasukan berbasikal negara ke Olimpik. Tambahan pula program ini pun hasil daripada pelaburan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya ambil tanggungjawab itu dan kena berusaha keras kerana ia bukan suatu usaha yang baharu atau setahun dua ini, tetapi sejak saya mula terbabit dalam sukan ini.

"Saya pun sudah memikul tanggungjawab ini sejak penyertaan pertama dalam Olimpik pada 2008, tapi situasi ketika itu berlainan kerana ia turut membabitkan Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei bagi acara badminton) serta ada beberapa atlet lain yang menjadi sandaran.

"Berbanding sekarang ini ia lebih ke arah kepada saya, namun saya ambil tanggungjawab dan akan berusaha untuk membuktikannya (sasaran emas)," katanya ketika ditemui di Velodrom Nasional, di sini, petang tadi.

Azizulhasni tampil mewakili Terengganu di Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di sini, yang bermula semalam hingga Khamis ini.

Azizulhasni sudah memiliki dua kilauan pingat di temasya terbesar dunia itu iaitu gangsa di Rio 2016 dan perak pada penampilannya di Tokyo 2020 dan bagi pelumba berusia 36 tahun berkenaan, impiannya tetap sama - untuk meraih emas buat negara di Paris nanti.

"Bagi saya sendiri, saya mempunyai sasaran peribadi dan sudah pastinya emas kerana sebelum ini saya dah menang perak dan gangsa.

"Saya berharap itulah hadiah (emas) untuk atas usaha bekerja keras selama ini, banyak berkorban masa, usia dan keluarga selain masalah kecederaan dan sebagainya.

"Saya mahu melengkapkan perjalanan saya di Sukan Olimpik iaitu dari pingat gangsa, perak dan (kemudian) emas," katanya.

Azizulhasni berharap impiannya untuk menuai emas pada Olimpik kali ini dimakbulkan Allah SWT sebelum dia bercadang untuk bersara dari sukan kegemarannya itu.

"Saya yakin dan percaya Allah tidak akan mensia-siakan usaha dan doa kita selama ini," katanya yang menjelaskan bahawa penyertaan beliau di Kejohanan Trek Kebangsaan itu sebagai sekadar pemanas badan selain membantu menyuntik semangat rakan sepasukan serta pelumba muda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 9:14 PM