MUHAMMAD  Norhafizan Mohd Nordin tular kerana sikapnya yang ramah menegur pemandu dan pelawat memasuki  ILPKT. FOTO Tangkap Layar TikTok dan Muhammad Norhafizan Mohd Nordin
MUHAMMAD Norhafizan Mohd Nordin tular kerana sikapnya yang ramah menegur pemandu dan pelawat memasuki ILPKT. FOTO Tangkap Layar TikTok dan Muhammad Norhafizan Mohd Nordin
Redzuan Muharam


Kuala Terengganu: "Hati-hati memandu kenderaan, semoga dalam keadaan baik dan selamat jalan encik!"

Itu ucapan sering diungkapkan pengawal keselamatan, Muhammad Norhafizan Mohd Nordin, 25, kepada pemandu yang memasuki kawasan Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu (ILPKT), di sini.

Bukan setakat beri ucapan, Muhammad Norhafizan turut mengangkat tangannya sebagai tanda hormat.

Sikap Muhammad Norhafizan itu mendapat pujian warganet dengan rata-ratanya menyifatkan pemuda berkenaan beradab selepas menonton videonya dimuat naik tenaga pengajar ILPKT, Azhar Ab Aziz, 43, di TikTok.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Norhafizan berkata, tiada siapa yang memintanya berbuat demikian namun dia lakukannya kerana sudah terbiasa sejak lebih dua tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di pusat pengajian berkenaan.

Baginya, apa dilakukan itu adalah tanggungjawabnya untuk menyambut setiap kakitangan dan pelawat yang datang.

"Tak ada siapa pun ajar saya buat tapi tak tau kenapa, mulut saya automatik ucapkan ayat itu setiap kali nampak kenderaan masuk.

"Sejak awal kerja di sini sudah macam itu dan seronok rasanya dapat tegur orang.

"Itu cara saya nak bermesra dan kalau boleh nak orang suka dengan cara saya sambut mereka datang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Azhar berkata, niatnya memuat naik video Muhammad Norhafizan di TikTok sekadar untuk berkongsi sisi positif seorang pengawal keselamatan.

"Ikutkan, saya saja kongsi di TikTok dan tak sangka boleh tular baru-baru ini kerana sebelum ini pernah juga rakam videonya.

"Sebelum ini saya tak turunkan tingkap apabila lalu di pintu masuk. Tapi lama kelamaan saya biasakan diri turunkan tingkap kerana kasihan jika biarkan.

"Saya kagum dengan sikapnya kerana ucapan yang baik daripada mulutnya itu pun satu doa dan bagus kalau dia kekal dengan cara begitu.

"Diharap perkongsian saya itu buka mata masyarakat terhadap pengawal keselamatan kerana ada segelintir memandang rendah dengan anggap ia pekerjaan kelas bawahan.

"Hakikatnya, pengawal keselamatan barisan hadapan dan orang penting kerana pelawat yang datang akan rujuk mereka dahulu jadi tak salah kita saling hormat menghormati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 8:37 PM