Kuala Lumpur: Kerajaan akan bertindak keras terhadap gerombolan pelampau yang menghasut bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan beberapa insiden keganasan yang berlaku beberapa minggu kebelakangan ini sehingga meragut nyawa pasukan keselamatan.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa kita sudah mengadakan pertemuan dengan pasukan keselamatan dan akan bertindak keras terhadap gerombolan itu.

"Insya-Allah keadaan akan bertambah tenang dan terkawal.

"Nampaknya ada usaha untuk mengeruhkan suasana dalam keadaan negara aman dan ekonomi mula mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan," katanya pada Perutusan Negara Oleh Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, malam ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan di luar jangkaan sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 9:22 PM