PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Ihsan RTM
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Ihsan RTM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kedudukan kewangan negara perlu diperkukuh bagi membolehkan kerajaan berbelanja untuk kebajikan rakyat dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah struktural yang perlu ditangani adalah menambah baik pengurusan wang awam.

"Apakah masalah fiskal yang perlu diselesaikan oleh kerajaan? Pertama ialah asas hasil yang kecil; kedua, perbelanjaan yang tidak berhemat dan ketiga ialah bebanan hutang.

"Perkara awal yang kita laksanakan bagi membuktikan komitmen kita terhadap reformasi fiskal adalah penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).

"Sasaran FRA adalah untuk menurunkan paras hutang untuk tidak melebihi 60 peratus KDNK dan defisit fiskal 3 peratus dalam jangka masa sederhana," katanya dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.

Beliau berkata, kerajaan juga mula memperluas asas hasil melalui reformasi percukaian.

"Cukai diperkenalkan tidak membebankan dan bersifat progresif, iaitu dikenakan mengikut pendapatan supaya rakyat susah tidak dikenakan cukai yang sama dengan golongan kaya.

"Cukai Barang Bernilai Rendah, Cukai Keuntungan Modal Bagi Saham Tidak Tersenarai dan penambahbaikan kepada Cukai Perkhidmatan diperkenalkan. Kita mengunjurkan peningkatan hasil cukai negara sebanyak RM4.5 bilion," katanya.

Menurutnya, dalam soal subsidi, kerajaan perlu mengambil pendekatan berani untuk menyasarkan semula subsidi.

"Tindakan kita dalam menyasarkan semula subsidi memberi penjimatan kepada wang rakyat yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain.

"Umpamanya, kerajaan menjana penjimatan RM4 bilion hasil penyasaran subsidi mengikut penggunaan elektrik.

"Tahun ini, subsidi elektrik ditambah baik dengan 85 peratus rakyat tidak terjejas dan kekal menikmati subsidi sementara baki 15 peratus yang menggunakan

elektrik melebihi 600 kilowat-jam tidak lagi layak menerima subsidi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 11:13 PM