MIJE bersama sebahagian koleksi ular dipelihara.  FOTO: Yazid Razali
MIJE bersama sebahagian koleksi ular dipelihara. FOTO: Yazid Razali
Nurul Husna Mahmud

RESAH, geli dan takut antara reaksi biasa sering kali diterima Snakemaster Mije atau Mohd Hamizan Nawai, 43, apabila mendekati orang ramai dengan haiwan peliharaannya.

Haiwan peliharaan Mije berukuran hampir dua meter dan disifatkan antara reptilia digeruni kerana kekuatan 'membelit' membuatkan pesaing atau mangsanya tewas.

Namun itu tidak menggerunkan bagi Mije, kerana dia lebih selesa dikelilingi reptilia itu dan mengakui sukar berenggang dengan lebih 60 spesies dalam koleksi di kediamannya di Tapah, Perak.

"Saya sudah bermain dengan ular lebih 15 tahun dan minat itu hanya bercambah apabila dewasa kerana untuk menyimpan atau memelihara ular selain perlu faham tabiat serta habitatnya juga perlu ada kemampuan kewangan.

"Ramai beranggapan ular ini berbahaya sedangkan kalau diteliti dan ada pemahaman betul, ular juga mempunyai spesies sesuai untuk dipelihara seperti mana haiwan peliharaan lain," katanya.

Tambah Mije, dia mula serius belajar mengenai ular sejak 2010 apabila aktif bersama Persatuan Malaysian Society on Toxinology apabila sering dijemput sebagai fasilitator dan dijemput mengikuti kursus berkait dengan haiwan itu.

AKSI menarik Mije ketika ‘bermesra’ dengan ular sawa.  FOTO: Yazid Razali
AKSI menarik Mije ketika ‘bermesra’ dengan ular sawa. FOTO: Yazid Razali

Katanya, interaksi mesra bersama haiwan kesayangannya setiap kali haiwan itu menyusur lembut di tubuh selain membelit 'mesra' pergelangan tangan atau pinggang.

"Sebenarnya ular jenis tidak berbisa sesuai untuk dipelihara dan saya sarankan peminat reptilia mereka boleh bermula dengan memelihara ular kecil seperti 'corn snake' atau dipanggil colubrid.

"Kemudian barulah kepada spesies lebih besar seperti burmese phython atau ball phython iaitu spesies ular sawa lebih besar. Setidak-tidaknya mereka boleh belajar dulu tabiat termasuk habitat yang boleh membantu ular selesa dalam jagaan pemilik," katanya.

Menurut penulis buku Snakemaster Bercerita Tentang Ular Dengan Betul itu, sepanjang mengendali reptilia berkenaan kata Mije insiden digigit ular sudah biasa dan tiada yang serius kerana tahu untuk mengawalnya.

"Sepanjang saya mengendalikan ular pernah dipatuk jenis senduk tetapi tidak mudarat kerana 'patukan kering' sahaja. Digigit ular sawa sudah biasa tetapi dulu sebab kurang arif dengan tabiat haiwan itu.

"Ular sebenarnya tidak gemar dipegang bahagian kepala dan ekor. Ular selesa apabila dipegang pada bahagian dua pertiga badan selain perlu pegang dengan lembut.

"Saya tidak ada amalan rahsia atau tahyul sebaliknya belajar lebih banyak mengenai reaksi ular terutama apabila mereka bertindak dalam keadaan bahaya. Ular biasanya mematuk atas dua faktor satu terkejut untuk lindungi diri dan satu lagi sebab menyangkakan kita ingin beri makanan," katanya.

TAMPIL kelainan dalam pertunjukan ular atau penggambaran bersama orang ramai.  FOTO: Yazid Razali
TAMPIL kelainan dalam pertunjukan ular atau penggambaran bersama orang ramai. FOTO: Yazid Razali

Memastikan kelangsungan haiwan eksotik kesayangannya itu, kata Mije, dia membela tikus selain membeli ayam dan arnab dari ladang berdekatan untuk makanan.

"Ketika ini kos untuk makanan bagi haiwan ternakan sekitar RM500 dan bagi ular kecil biasanya makan tikus sementara yang besar arnab dan ayam.

"Tidak timbul isu kos makanan mahal sebab ular mempunyai metabolisme rendah dan lambat hadam. Jadi reptilia ini boleh bertahan seminggu hingga ke sebulan tanpa makanan, cuma jangan putus bekalan air," katanya.

Mengenai 'kecantikan' atau nilai tinggi dimiliki reptilia terbabit, kata Mije dalam koleksi dimiliki spesies purple reticulated phython berusia empat tahun yang mempunyai berat lapan kilogram antara paling mahal.

"Kalau spesies mahal sebenarnya ular ini dinilai pada tekstur sisik atau permukaannya yang dipanggil 'morph'. Batik sawa tempatan mempunyai nilai tinggi disebabkan memiliki 'morph' cantik dan menarik," katanya berharap dapat membantu lebih ramai orang untuk lebih berani dan selesa dengan spesies terbabit.

Selain sebagai hobi, sebelum penularan Covid-19, dia aktif membawa sebahagian koleksi ke serata negara selain rutin hujung minggu di Menara Teluk Intan untuk membantu orang ramai mengatasi fobia dengan haiwan berkenaan.

PENDEDAHAN awal penting untuk memahami tabiat reptilia.  FOTO: Yazid Razali
PENDEDAHAN awal penting untuk memahami tabiat reptilia. FOTO: Yazid Razali

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 7:00 AM