BERNAMA

Singapura: Enam belas rakyat Malaysia adalah antara 211 penumpang yang menaiki penerbangan SQ321, Singapore Airlines (SIA) dari London ke Singapura yang terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand, petang Selasa.

Bagaimanapun, SIA dalam kemas kini terbarunya pada 10.35 malam di Facebook tidak menjelaskan keadaan mereka.

Penumpang lain yang menaiki penerbangan itu termasuk 41 dari Singapura, United Kingdom (47), Australia (56), Kanada (dua), Jerman (satu), India (tiga), Indonesia (dua), Iceland (satu), Ireland (empat), Israel (satu), Myanmar (dua), New Zealand (23), Filipina (lima), Korea Selatan (satu), Sepanyol (dua), dan Amerika Syarikat (empat).

Terdahulu, Ketua Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata, kematian dalam kejadian itu membabitkan seorang lelaki British berusia 73 tahun.

KEADAAN dalam pesawat Singapore Airline flight SQ321 selepas pendaratan cemas di Lapangan Antarabangsa Suvarnabhumi. FOTO Reuters
KEADAAN dalam pesawat Singapore Airline flight SQ321 selepas pendaratan cemas di Lapangan Antarabangsa Suvarnabhumi. FOTO Reuters

SIA mengatakan penerbangan mengalami gelombang angin ekstrim secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow, yang memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok.

Pada pukul 7.50 malam, 18 individu telah dimasukkan ke hospital dan 12 sedang menerima rawatan di hospital manakala penumpang dan kru yang lain sedang diperiksa dan diberikan rawatan, jika perlu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

"SIA sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam siasatan ke atas kejadian ini," katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata mereka kini sedang bekerja dengan rakan sekerja dan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan yang diperlukan dan pasukan SIA sedang dalam perjalanan ke Bangkok untuk menyediakan sokongan lanjut.

Keluarga yang menghubungi talian hotline Singapore Airlines di +65 6542 3311 (Singapura), 1800-845-313 (Australia), dan 080-0066-8194 (United Kingdom) untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 11:46 PM