Puff adder.
Puff adder.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Ada kemungkinan ular ketiga paling berbisa di Afrika, puff adder yang menggigit mati seorang lelaki Jumaat lalu diseludup masuk ke negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sepasukan pegawai Perhilitan dihantar ke premis menjual haiwan peliharaan di ibu kota semalam, bagi menyiasat kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya melakukan siasatan bagaimana ular berbisa Afrika itu dibawa masuk ke negara ini.

"Ular itu mungkin mahu dijadikan haiwan peliharaan eksotik. Namun spesies ini tidak kurang bahayanya berbanding ular spesies Black Mamba dari benua Afrika.

"Pernah berlaku ular berbisa ini diseludup masuk dengan disembunyikan di dalam botol atau bekas tertentu. Bagaimanapun dalam kes terbaru ini, pihak Perhilitan masih menjalankan siasatan sumber reptilia itu diperolehi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya meneliti konvensyen antarabangsa Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) bagi mengetahui sama ada spesis ular puff adder adalah haiwan dilindungi dan tidak boleh diperdagangkan.

Media semalam melaporkan seorang lelaki maut dipatuk ular berbisa puff adder ketika membantu rakannya yang juga penjaga haiwan peliharaan eksotik.

Profesor Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Madya Dr Ahmad Khaldun Ismail dipetik berkata, ini kes pertama direkodkan membabitkan ular spesies itu di Malaysia.

"Terdapat dua kes gigitan ular eksotik sebelum ini yang kita ketahui. Mangsa lelaki berusia 30-an berasal dari Selangor maut selepas digigit pada kedua-dua tangan kanan dan kirinya.

"Mangsa meninggal dunia 23 jam selepas kejadian ketika antivenom (Antivipmyn-Africa) cuba diperoleh dari Zoo Singapura.

"Difahamkan ular berbisa itu turut terlepas dan gagal ditemui selepas kejadian serangan berlaku," katanya.

Sementara itu Kadir percaya ular berbisa itu berada di kawasan berhampiran premis berkenaan.

"Mengikut pengalaman, ular berbisa berusaha mencari air minuman selepas mematuk mangsa. Ular Afrika ini tidak bersenyawa dengan spesies tempatan sekaligus menolak andaian ia boleh membiak di negara ini.

"Bagaimanapun saya menasihati orang ramai berhati-hati berikutan ular ini boleh menyerang terutama dalam keadaan terancam," katanya.

Difahamkan ular puff adder turut mendiami kawasan savana dan padang rumput dari Morocco di utara Afrika hingga Afrika selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 8:00 AM