AYU Wan Gira kerap beraksi bersama ular di Sabah dan Indonesia
AYU Wan Gira kerap beraksi bersama ular di Sabah dan Indonesia
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kepakarannya mengendalikan pelbagai spesies ular tempatan sejak lebih 15 tahun lalu melayakkan wanita ini menjadi satu-satunya 'Cikgu Ular' bertauliah di Malaysia.

Juliawani Johari, 36, yang berkhidmat sebagai Pembantu Hidupan Liar Kanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerap dipanggil oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta pihak hospital bagi berkongsi maklumat berkaitan haiwan berbisa itu.

Menurutnya, kebolehan dimilikinya itu adalah hasil pengalaman sejak mula bertugas di Perhilitan Kuantan, Pahang bermula tahun 2006 selama 11 tahun sebelum ditukarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017.

"Ketika mula berkhidmat di Kuantan, saya kerap terbabit menguruskan konflik hidupan liar terutama membabitkan monyet, gajah, babi hutan dan ular.

"Bermula di situ, saya kerap menghadiri kursus memantapkan pengetahuan berhubung kaedah pengendalian pelbagai spesies ular sama ada berbisa atau sebaliknya, 'bahasa tubuh' ular, sifat dan jenis bisa," katanya.

Katanya, dia menyertai sekurang-kurangnya tiga kursus dalam setahun bagi memantapkan kebolehan, keberanian serta keupayaan dalam 'berurusan' dengan ular.

"Terdapat pelbagai spesies ular berbisa di negara ini yang terkenal antaranya, tedung selar, ular karang, ular katam, ular kapak, ular senduk dan pelbagai spesies lain.

"Semua ini memerlukan pengetahuan dan garis panduan khusus untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingin.

"Hasil kursus dihadiri itu serta pengalaman berada di lapangan, saya kemudian diberi tanggungjawab untuk mengajar kakitangan baru Perhilitan untuk mengendalikan haiwan ini bermula tahun 2010," katanya yang kini berkhidmat di Rizab Hidupan Liar Krau, Temerloh, Pahang.

Dia berkata, sepanjang berkhidmat bersama Perhilitan, dia tidak pernah berdepan situasi cemas atau dipatuk ular kecuali pernah digigit ular sawa dan ular punti ketika sedang mengajar.

"Biasanya insiden berlaku ketika perhatian saya 'lari' seketika berikutan saya perlu bercakap kepada peserta program sambil mengendalikan ular berkenaan," katanya.

JULIAWANI pada sesi pengajaran berkaitan pengendalian ular.
JULIAWANI pada sesi pengajaran berkaitan pengendalian ular.

Pernah tinggal seminggu bersama reptilia berbisa

"Saya sayangkan semua haiwan tetapi lebih 'cintakan' ular kerana minat dan terdedah dengannya sejak usia tujuh tahun.

"Malah, saya pernah tidur seminggu bersama ular berbisa," ujar pemain ular, Ayu Wan Gira Pengiran Jakaria, 29.

Dia yang menetap di Kampung Laya Laya, Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah, berkata, minatnya terhadap ular bermula sejak berusia tujuh tahun lagi.

Dia berkata, bapanya, Pengiran Jakaria Pengiran Lida, 56, memberi galakan sehingga dia memiliki keberanian bermain ular dan menjadikan reptilia itu sebagai haiwan peliharaan.

Malah, dia yang mesra dengan panggilan Manja berkata, minatnya itu menyebabkan dia mendapat jolokan nama 'Ratu Ular' selain undangan mengadakan pertunjukan sekitar Sabah hingga ke Indonesia.

"Salah satu cabaran pernah dilakukan adalah tinggal bersama ular berbisa selama seminggu di Makassar, Indonesia.

"Saya akui banyak kali cedera akibat dipatuk ular, tetapi ia tidak membuatkan saya serik atau takut dengan haiwan berkenaan. Sebaliknya, saya sudah lali dan menganggap perkara itu sebagai lumrah kepada pemain ular," katanya.

Menurutnya, dia kali pertama dipatuk ular pada seawal usia 12 tahun.

"Insiden itu berlaku sewaktu saya mahu menangkap ular sawa batik yang belum dijinakkan.

"Sebelum ini saya pernah memelihara 29 ekor ular namun kini hanya tinggal enam ekor sahaja berikutan selebihnya diserahkan kepada pihak berkuasa," katanya yang mempunyai lesen untuk memelihara ular.

Menurutnya, suami, Riswan Rudi Taraweng turut memahami minatnya terhadap ular walaupun pada peringkat awal agak geli terhadap haiwan itu.

"Malah, anak-anak saya juga berani bermain ular terutama anak sulung. Semua ular ini diletakkan dalam bekas khas di rumah.

"Saya berharap anak-anak akan mewarisi minat saya ini kelak," katanya yang kerap dipanggil membuat pertunjukkan.

MARINA menangkap ular berbisa ketika menjalankan tugas mengendalikan aduan penduduk di Kajang.
MARINA menangkap ular berbisa ketika menjalankan tugas mengendalikan aduan penduduk di Kajang.

Dah tunduk lebih 1,000 ular

Lebih 1,000 ekor ular sudah 'ditundukkan' wanita ini sejak lebih lima tahun lalu. Ternyata ketangkasan serta keberaniannya ketika mengendalikan reptilia menggerunkan ini mengundang rasa hormat ramai.

Ibu tunggal dua anak ini, Marina Jamal, 35, yang mula menyertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada Oktober 2017, antara watak utama sering dipanggil untuk menyelesaikan kes panggilan kecemasan membabitkan hidupan liar ini terutama di daerah Hulu Langat, Semenyih dan Bangi.

Menurutnya, dia hanya mula mendekati haiwan reptilia itu ketika menjalani latihan APM selama dua minggu pada peringkat awal pembabitan dengan pasukan sukarelawan itu.

"Dalam tempoh dua minggu menjalani latihan, saya banyak didedahkan teknik menangkap ular, spesies ular serta prosedur operasi standard (SOP) ketika menangkap ular di lokasi.

"Pada awalnya saya sama seperti wanita lain yang geli pada ular. Hanya selepas menyertai APM, semua perasaan gementar itu beransur hilang. Mungkin kerana saya berhadapan dengan tugasan ini setiap hari, saya akhirnya jadi lali dan berani memegang ular," katanya yang berkhidmat di APM Hulu Langat.

Katanya, hampir setiap hari dia mengendalikan kes kecemasan membabitkan ular di kediaman penduduk.

"Biasanya saya dipanggil untuk menangkap ular tedung hitam, ular rusuk kerbau, ular tedung selar, ular sawa dan pelbagai spesies lain sebelum haiwan itu dipindahkan ke habitat lebih sesuai.

"Pengalaman paling tidak dapat dilupakan apabila seekor ular tedung hitam yang ditangkap bertindak memancutkan bisa ke arah muka saya. Mujur bisa itu tidak masuk ke dalam mulut atau mata saya, jika tidak mungkin saya akan buta," ujarnya.

Menurutnya, ular berbisa ini gemar menyorok di dalam bengkel atau kawasan sesak dengan barangan terpakai.

"Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, saya dan anggota APM lain sentiasa mematuhi SOP dengan memakai sarung tangan khas, kasut getah, cermin mata khas dan peralatan untuk menangkap ular,

"Kebiasaannya tugas ini dilakukan bersama sahabat saya, Siti Fateha Abdullah, 18, yang mula menyertai APM sejak dua tahun lalu," katanya.

Menurut Marina, keputusannya menyertai APM secara tidak langsung mencetuskan keberanian untuk berbakti kepada masyarakat.

Tak serik dipatuk ular tedung selar

Pengalaman dipatuk ular tedung selar empat tahun lalu pernah membuatkan Pegawai Bomba Kanan ll, Nor Fazida Tina Mohamad Noor, 40, fobia dengan reptilia berkenaan.

Insiden itu menyebabkan wanita mesra disapa Tina terpaksa ditahan selama 18 jam di wad Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan doktor walaupun hanya mengalami luka kecil tanpa ada simptom atau kecederaan serius.

Namun perasaan gerun itu hanya seketika apabila Tina kembali melaksanakan tugas sebagai penyelia pasukan serta jurulatih ular di Balai Bomba dan Penyelamat Rawang.

Bercerita lanjut, Tina berkata, Allahyarham Abu Zarin Hussin yang juga pakar ular dan pernah bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Pahang adalah individu yang banyak memberikannya tunjuk ajar dalam mengendalikan ular.

"Saya tidak pernah memegang ular sebelum ini. Ia hanya bermula apabila saya bertugas sebagai anggota bomba dan penyelamat.

"Segalanya bermula selepas saya menerima panggilan daripada Allahyarham Abu Zarin memaklumkan mahu mewujudkan kursus pengendalian ular pada 2016 dan mengajak saya turut serta.

"Pada mulanya saya enggan mengikuti kursus itu kerana memikirkan risiko terhadap nyawa. Namun saya bersetuju selepas diyakinkan Allahyarham (Abu Zarin) yang memberi jaminan pasukannya iaitu Wira Penyelamat akan membantu jika berlaku perkara tidak diingini," katanya.

Menurutnya, banyak ilmu ditimba sepanjang terbabit dalam kursus pengendalian ular selama sebulan itu antaranya karakter reptlia berkenaan, spesies yang ada dan bagaimana proses pembiakannya.

Katanya, pengalaman itu banyak mengajar dan membantunya sehingga bergelar jurulatih seterusnya membimbing anggota bomba baru yang mengikuti kursus itu.

"Tidak semua orang berpeluang mengendalikan ular. Saya anggap kelebihan diberi sebagai satu anugerah daripada Allah SWT," katanya.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 1:00 PM