WANITA Palestin menziarahi kubur di Rafah, selatan Gaza, pada Hari Raya Aidilfitri, semalam. FOTO AFP
WANITA Palestin menziarahi kubur di Rafah, selatan Gaza, pada Hari Raya Aidilfitri, semalam. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Israel membeli 40,000 khemah untuk menempatkan hampir setengah juta penduduk Gaza, menjelang serangan darat ke atas apa yang didakwanya sebagai benteng terakhir Hamas di Rafah, kata sumber kerajaan pada Selasa lalu.

Israel membuka tender untuk khemah, setiap satu menempatkan 12 orang, atau kira-kira 480,000 orang secara keseluruhan, menurut cadangan yang diterbitkan di laman web kementerian pertahanan.

"Saya mengesahkan bahawa tender dibuka, bertujuan untuk Semenanjung Gaza," sumber kerajaan memberitahu AFP, meminta namanya tidak dikenali kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

Tentera Israel menganggarkan Hamas mempunyai empat batalion pejuang di Rafah, sebuah bandar di sempadan Mesir di mana lebih 1.5 juta orang berlindung.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, serangan darat ke atas Rafah sudah dirancang, walaupun terdapat bantahan antarabangsa terhadapnya.

Pada Isnin, beliau berkata, "ada tarikh" untuk serangan tanpa menyatakan bila serangan akan bermula.

Pegawai Israel lain juga mendakwa bahawa serangan darat ke atas Rafah sedang dirancang, selepas tentera berundur dari bandar utama selatan Gaza, Khan Yunis, pada hujung minggu lalu.

Wartawan AFP melaporkan bahawa ramai penduduk Gaza kembali ke bandar Khan Yunis dan mendapati rumah mereka sudah musnah.

Perang Gaza meletus selepas Hamas, yang memerintah wilayah itu, melakukan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober ke atas Israel yang mengakibatkan kematian 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza, setakat ini, membunuh 33,360 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 8:38 AM