KERJASAMA yang memberi manfaat kepada 600,000 remaja di seluruh negara.
KERJASAMA yang memberi manfaat kepada 600,000 remaja di seluruh negara.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

TINJAUAN Kesihatan Remaja (AHS) 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati 88 peratus daripada 154,646 remaja di Malaysia yang dilapor pernah melakukan hubungan seks menyatakan mereka tidak menggunakan kondom atau alat perlindungan lain.

Selain itu, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula merekodkan 1,299 kes rogol bawah umur dilaporkan pada 2021 dan meningkat kepada 1,590 pada 2023.

Apa yang mengejutkan, sebahagian besar gadis bawah umur yang menjadi mangsa rogol mengenali individu yang merogol melalui media sosial terlebih dahulu sebelum berjumpa.

Justeru, bagi membendung gejala tidak sihat yang mempengaruhi kanak-kanak serta remaja, penting untuk memperkasa pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada mereka

Ia perlu meliputi aspek biologi, sosial, psikologi, kerohanian dan budaya sebagai pembelajaran sepanjang hayat untuk membina generasi masa depan lebih sihat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, data 2023 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati anggaran penduduk remaja Malaysia berumur 13 hingga 24 tahun seramai 8.4 juta, mewakili 25 peratus daripada jumlah penduduk negara iaitu 33.4 juta.

Untuk itu, antara langkah dilaksana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) melalui kerjasama agensi dan pihak swasta secara berterusan adalah melalui program advokasi khusus untuk meningkatkan tahap pengetahuan serta kesedaran golongan remaja mengenai isu kesihatan reproduktif dan sosial (SRH).

Kata Nancy, Program KASIH Remaja: Advokasi SRH inisiatif baharu KPWKM bersama rakan strategik daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta bagi memperkasa pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dalam kalangan remaja secara holistik di negara ini.

"Ia merangkumi empat komponen utama iaitu Program Advokasi SRH, Kit Pembelajaran Kendiri Advokasi SRH, Kaunseling SRH Remaja dan Klinik KafeTEEN serta Pemberian Kit Pengurusan Kebersihan Diri.

"Program itu bertujuan mengoptimumkan penyebaran pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial di sekolah terpilih di seluruh negara dari tahun ini hingga 2026.

"Dalam tiga tahun, program dijangka dapat menyantuni 600,000 murid terutama di luar bandar dan kawasan miskin bandar melalui kolaborasi strategik antara kerajaan dan syarikat swasta," katanya pada majlis pelancaran Program KASIH Remaja: Advokasi SRH peringkat kebangsaan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, ibu negara, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

Menurut Nancy lagi, kementeriannya turut melancarkan pelbagai inisiatif bersama agensi kerajaan serta NGO untuk memperluaskan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada masyarakat.

Ia termasuk pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) dari tahun 2009-2012.

Kata Nancy, lanjutan itu, PEKERTI Tahun 2022-2025 sudah dikemas kini untuk memenuhi keperluan semasa dengan mengintegrasi aspek teknologi komunikasi terkini, perubahan demografi, trend kesihatan serta pengetahuan seksual dan reproduktif.

Ia bagi melahirkan individuberpengetahuan serta bersikap positif terhadap kesihatan reproduktif dan sosial.

"Satu kajian United Nations Population Fund (UNFPA) dengan kerjasama Harvard T.H. Chan School of Public Policy dan Kerajaan Malaysia pada 2022 mendapati pelaburan dalam pendidikan kesihatan reproduktif yang komprehensif, khususnya di sekolah memberi pulangan signifikan terhadap pembangunan modal insan.

"Pelaksanaan program itu selama lima tahun dilihat dapat mengurangkan kadar kehamilan tidak dirancang sebanyak 49 peratus dan kadar jangkitan HIV sebanyak enam puluh dua peratus 62 peratus.

"Ia secara tidak langsung dapat membantu dalam pencapaian pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan sumber pendapatan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Kimberly-Clark Malaysia, Lim Yu Chien berkata, setiap kit disumbangkan dilengkapi tuala wanita, 'pantyliner' serta bahan pendidikan bercetak yang berkenaan.

Kata Lim, sehingga kini kerjasama itu memanfaatkan 98,000 remaja perempuan dan dijangka dapat membabitkan sehingga 200,000 remaja menjelang akhir tahun.

Selain itu katanya, Kotex juga menghasilkan dua kandungan video pendidikan haid dan SRH yang akan ditayangkan di sekolah.

"Video pertama beri penekanan kepada pendidikan haid dan merangkumi segala-galanya daripada haid pertama, sindrom pra-haid, kitaran sihat, amalan kebersihan haid dan banyak lagi.

"Manakala video kedua merangkumi kesihatan reproduktif, hak badan dan lain-lain lagi.

"Banyak isu berbangkit akibat stigma dan tabu haid dan remaja perlu dilengkapi dengan pengetahuan untuk mengurus haid selain menjaga diri mereka dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 7:01 AM