Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.
Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Penilaian status kesihatan mental secara berkala untuk mangsa kes simbahan asid penting untuk mengenal pasti tanda awal gangguan mental.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, tanda awal seperti perubahan personaliti, gangguan tidur, gangguan emosi sehinggalah rasa putus harapan atau berfikir tidak mahu meneruskan kehidupan.

"Itu antara tanda awal yang mungkin dialami oleh mangsa dan keadaan berkenaan memerlukan sokongan persekitaran khususnya keluarga.

"Sokongan individu terdekat dalam memberi sokongan emosi yang positif dapat memberi ruang bagi berkongsi kesukaran emosi dilalui dan terus memberi persekitaran yang baik.

"Selain itu, boleh juga dilaksanakan aktiviti yang menyeronokkan atau disukai seperti memperbanyakkan hobi selain mengamalkan cara hidup sihat bagi kesihatan mental dan fizikal," katanya.

Muhammad Muhsin berkata, sokongan emosi perlu diutamakan kerana mangsa akan melalui tekanan emosi yang sangat ketara.

Beliau berkata, ia khusus membabitkan kecederaan fizikal dan disfigurement bahagian anggota badan.

"Orang terdekat juga boleh menilai jika seseorang individu terkesan sehingga mengakibatkan gangguan mental seperti Masalah Mental Pasca Trauma (PTSD), kerisauan melampau dan kemurungan.

"Untuk itu, perlu mendapatkan rawatan susulan daripada kecederaan terbabit contohnya mengurangkan rasa sakit yang dialami.

"Keadilan daripada segi undang-undang juga perlu ditegakkan bagi merasakan kesengsaraan yang dialami terbela dan pelaku dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Dendam antara faktor

Faktor utama seseorang itu sanggup menyimbah asid kepada mangsa berkemungkinan akibat dendam.

Pegawai Psikologi Kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Nur Asyikah Azahari berkata, itu antara faktor menyebabkan individu itu sanggup melakukan perkara di luar kawalan walaupun tahu kesan yang mendalam kepada mangsa.

Katanya, faktor lain kemungkinan sifat amarah yang melampau dengan mangsa menyebabkan seseorang itu melakukan perkara di luar jangkaan.

"Namun, akibat simbahan asid itu, mangsa mungkin akan menjadi trauma seumur hidup atau boleh diubati.

"Kesan simbahan asid boleh menyebabkan trauma kepada mangsa dan jika tidak mendapat bantuan psikologi mangsa mungkin akan mengalami Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD).

"Gangguan ini boleh berlaku pada sesetengah orang selepas mereka mengalami trauma," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, simbahan asid juga memberi kesan keadaan psikologi kepada mangsa yang mungkin mengalami keadaan kemurungan.

Menurutnya, mangsa juga mungkin akan mengalami hyperarousal seperti kesukaran untuk tidur atau gelisah, terkejut dengan sangat mudah, masalah pemikiran dan perasaan seperti sukar mengingat atau kehilangan minat dalam aktiviti.

"Malah, mangsa juga mengalami kembali peristiwa traumatik seolah-olah ia berlaku lagi pada masa sekarang, yang disebut 'kilas balik'. Mimpi buruk yang jelas juga adalah pengalaman trauma.

"Simbahan asid menyebabkan kecacatan kekal dan kesakitan yang memeritkan, berikutan itu mangsa kes ini akan lebih cenderung mengalami trauma yang lebih teruk.

"Oleh itu, mangsa perlu dibantu secara profesional untuk menghadapi saat kesukaran dalam hidup seterusnya dapat mengembalikan emosi yang lebih stabil dan dapat membuat penyesuaian kendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 8:01 AM