HJULMAND kecam keputusan VAR memberi kesan kepada pasukannya. FOTO AFP
HJULMAND kecam keputusan VAR memberi kesan kepada pasukannya. FOTO AFP
AFP

Dortmund: Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand tidak berpuas hati dengan keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menghukum pasukannya dalam kekalahan 0-2 kepada Jerman pada Euro 2024 pagi tadi.

"Ia diputuskan oleh dua keputusan VAR," kata Hjulmand kepada pemberita selepas perlawanan pusingan 16 terakhir di Dortmund, yang dimenangi Jerman hasil penalti Kai Havertz pada awal separuh masa kedua dan jaringan Jamal Musiala.

Denmark menyangka mereka berada di depan sejurus selepas separuh masa kedua bermula apabila Joachim Andersen menjaringkan gol, tetapi usaha itu akhirnya dibatalkan berikutan semakan VAR yang menunjukkan Thomas Delaney berada di kedudukan ofsaid sebelum melakukan hantaran kepadanya.

Apabila permainan dimulakan semula, Jerman segera menyerang dan hantaran silang David Raum terkena tangan pertahanan Crystal Palace itu di dalam kotak penalti Denmark, membawa kepada satu lagi semakan VAR dan pemberian penalti disempurnakan Havertz.

"Saya mempunyai gambar di sini, ia adalah satu sentimeter," Hjulmand mengadu mengenai keputusan ofsaid terhadap Andersen sambil mengangkat telefonnya.

"Dari segi statistik dan data, ia tidak masuk akal. Ia bukan bagaimana kita sepatutnya menggunakan VAR. Ia adalah satu sentimeter.

"Seminit kemudian diberikan penalti. Saya sangat bosan dengan peraturan bola terkena tangan yang tidak masuk akal, kami tidak boleh meminta pemain pertahanan kami untuk berlari tanpa lengan mereka."

"Joachim berlari seperti biasa. Ia adalah keadaan biasa, dia melompat dan terkena sepakan dari jarak satu meter. Saya jarang bercakap mengenai situasi ini tetapi ia sangat terkesan untuk perlawanan ini."

VAR boleh disemak dalam empat situasi yang mengubah perlawanan, untuk gol dan kesalahan yang membawa kepada gol, keputusan penalti, insiden kad merah dan kes kesilapan identiti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 7:43 AM