PEMAIN Jerman meraikan kejayaan mengalahkan Denmark untuk mara ke suku akhir. FOTO Reuters
PEMAIN Jerman meraikan kejayaan mengalahkan Denmark untuk mara ke suku akhir. FOTO Reuters
AFP

Dortmund: Penalti Kai Havertz dan gol Jamal Musiala memberikan Jerman kemenangan 2-0 ke atas Denmark bagi membolehkan rumah mara ke suku akhir Euro 2024 selepas perlawanan dramatik tertunda hampir setengah jam di separuh masa pertama akibat ribut.

Havertz menyempurnakan sepakan penalti pada awal separuh masa kedua di Dortmund berikutan bola terkena tangan Joachim Andersen, yang golnya dibatalkan beberapa saat sebelum itu.

Pemain Bayern Munich, Musiala kemudian menjarakkan diri buat Jerman hasil gol kedua pada pertengahan separuh masa kedua bagi membuktikan Jerman berada di kelas tersendiri.

Pada satu ketika ia kelihatan seolah-olah perlawanan boleh ditunda apabila pengadil dari England, Michael Oliver menghentikan permainan pada minit ke-35 separuh masa pertama dan mengarahkan kedua-dua pasukan meninggalkan padang akibat ribut kencang.

Hujan lebat, angin kencang, guruh dan petir menyebabkan aksi tertangguh selama 25 minit sebelum ia boleh disambung semula.

Ia menjadikan malam yang tidak dapat dilupakan, dan berakhir dengan tuan rumah melalui ujian berat dalam usaha mereka untuk menggapai impian memenangi trofi di Berlin.

Bagaimanapun, laluan itu akan menjadi lebih sukar selepas ini dan pasukan bimbingan Julian Nagelsmann akan berkunjung ke Stuttgart untuk perlawanan suku akhir Jumaat depan menentang sama ada Sepanyol atau Georgia.

Sementara itu Denmark, yang terkenal menewaskan Jerman pada perlawanan akhir Euro 1992, pulang tanpa memenangi sebarang perlawanan – mereka mara dari peringkat kumpulan dengan mencatatkan tiga seri.

Nagelsmann membuat tiga pertukaran kepada pasukan Jerman itu selepas perlawanan terakhir mereka, seri 1-1 dengan Switzerland.

Nico Schlotterbeck menggantikan Jonathan Tah yang digantung di bahagian pertahanan tengah, David Raum masuk di pertahanan kiri, dan Leroy Sane diberi tanggungjawab berbanding Florian Wirtz di sayap kanan.

Schlotterbeck, dari Borussia Dortmund, menyangka dia sudah memberikan Jerman gol pendahuluan di minit keempat apabila menanduk masuk tendangan sudut.

Dia berlari untuk meraikan jaringan berkenaan, tetapi gol itu dibatalkan kerana kekasaran oleh Joshua Kimmich.

Ia kelihatan menjadi malam yang mengecewakan pasukan tuan rumah kerana mereka kemudiannya digagalkan beberapa kali oleh penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel.

Dia menafikan percubaan deras Kimmich dan mengeluarkan bola hasil voli Havertz tatkala Denmark mengharungi 'ribut' awal dari tuan rumah.

Selepas aksi disambung semula dengan keadaan padang yang basah, Jerman dengan cepat meningkatkan tekanan sekali lagi.

Umpanan silang Raum dari kiri disambut oleh Havertz, tetapi Schmeichel - yang bapanya bermain pada perlawanan akhir 1992 itu sekali lagi hadir untuk melakukan penyelamatan yang baik.

Denmark mula membuat ancaman sebelum rehat tetapi percubaan Rasmus Hojlund terkena tepi jaring selepas merampas bola daripada Schlotterbeck.

Pada minit ke-48, Andersen menyangka dia sudah menjaringkan gol apabila merembat masuk ketika bola berada di kakinya di dalam kotak penalti, tetapi Video Bantuan Pengadil (VAR) memberitahu pengadil untuk membatalkan jaringan berkenaan kerana Thomas Delaney yang melakukan hantaran berada dalam keadaan ofsaid.

Sebaik permainan disambung semula, Jerman menyerang dan hantaran lintang Raum terkena tangan Andersen yang dihulurkan di kawasan petak penalti.

Kesalahan pemain Crystal Palace itu dihukum berikutan pemeriksaan VAR dan Havertz menjaringkan penalti kedua dalam kejohanan itu.

Havertz dan Sane terlepas peluang terbaik untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum Musiala mudah menyempurnakan jaringan untuk gol ketiganya dalam Euro berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama Georges Mikautadze dari Georgia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 7:21 AM