PENDUDUK Palestin yang berlindung di khemah di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin yang berlindung di khemah di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Israel berikrar untuk membenarkan penduduk Palestin yang bersesak-sesak di selatan Gaza, keluar sebelum meneruskan pencerobohan yang dirancang ke atas Rafah.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran adalah mustahil untuk orang awam itu keluar tanpa berdepan risiko bahaya.

Kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza berada di Rafah, bahagian hujung paling selatan wilayah itu, yang bersempadan dengan Laut Mediterranean di barat, dan mempunyai sempadan tertutup di selatan dan timur, manakala tentera Israel bersedia untuk masuk dari utara.

"Ke mana kita akan pergi jika mereka memasuki Rafah, dan di manakah kita akan mendapat khemah, tilam dan selimut?" kata Sabah Al-Astal, 50, yang sudah kehilangan tempat tinggal di dalam Gaza akibat perang Israel-Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertegas mahu menghantar tentera ke Rafah untuk menumpaskan Hamas di kawasan yang bersempadan dengan Mesir dan Israel itu.

Meskipun begitu, Netanyahu berjanji membenarkan penduduk Gaza keluar dari Rafah, dengan mengatakan pada Ahad bahawa tenteranya tidak akan bergerak, selagi penduduk terperangkap di situ.

Israel, bagaimanapun, masih kabur mengenai bagaimana atau bila pemindahan besar-besaran itu akan berlaku.

"Orang ramai tidak tahu ke mana hendak pergi. Tiada tempat selamat di Gaza," kata pakar mengenai pelarian di Pemerhati Hak Asasi (HRW), Nadia Hardman.

Perang Gaza berlaku selepas Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober yang mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam.

Sementara Hamas didakwa menawan kira-kira 250 tebusan, dengan Israel percaya 130 masih berada di Gaza, termasuk 33 yang dianggap mati.

Israel melakukan kempen pengeboman tanpa henti dan serangan darat yang dikatakan oleh Kementerian Kesihatan Gaza membunuh sekurang-kurangnya 31,726 orang, dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Menteri Luar Israel Israel Katz memberitahu radio tempatan yang pihaknya akan memindahkan rakyat sebelum melakukan sebarang operasi besar-besaran.

"Bukan ke utara, tetapi ke barat. Terdapat negara Arab yang boleh membantu dengan mendirikan khemah, atau sesuatu yang lain di kawasan kecil antara Rafah dan Mediterranean, " tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 12:51 PM